GEORGE TOWN: Ibu kepada Allahyarham Shahir Zainul, 46, yang dilaporkan meninggal dunia selepas didakwa hilang selama sebulan memastikan pendidikan dua cucunya diteruskan walaupun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai penjaga selepas kematian anak lelaki tunggalnya itu.
Salmah Samsudin, 72, berkata, buat masa ini, kedua-dua cucunya berusia 15 dan 13 tahun, akan terus tinggal bersamanya memandangkan ibu kandung mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab sekali gus menjadikan dia satu-satunya tempat bergantung buat dua beradik tersebut.
“Walaupun saya sudah semakin tua dan tak mampu lagi untuk bekerja seperti dulu, saya reda menerima amanah ini demi memastikan kebajikan serta masa depan cucu-cucu saya terbela.
“Saya jaga mereka sejak kecil. Selagi termampu, saya akan pastikan mereka membesar dengan baik dan terus bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Bukit Gedung di sini, petang semalam.
Shahir sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 11 Jun lalu, namun, berita kematiannya hanya diketahui selepas keluarga dihubungi oleh pihak hospital untuk membuat pengesahan berhubung mayat yang tidak dituntut.
Mengulas lanjut, Salmah berkata, pemergian Shahir, memberi kesan yang mendalam kepada dua cucunya, namun, kedua-duanya masih sukar meluahkan perasaan serta lebih banyak memendam rasa.
Menurutnya, cucu bongsunya enggan makan pada malam selepas melihat jenazah bapanya, tetapi, kembali berselera pada keesokan harinya selepas mengadu lapar kerana tidak makan sejak hari sebelumnya.
Sementara itu, Salmah turut menzahirkan rasa syukur apabila pelbagai pihak termasuk Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil menghulurkan sumbangan termasuk menyalurkan bantuan bulanan meringankan beban keluarganya.
“Alhamdulillah, syukur sangat-sangat. Sekurang-kurangnya kami cukup makan. Kalau masak lauk yang sederhana pun kami bersyukur, cucu saya pun tak pernah merungut.
“Saya tak kisah susah untuk diri saya. Yang penting, cucu-cucu saya cukup makan dan dapat terus belajar. Itu yang paling saya harapkan,” katanya. – UTUSAN









