KUALA LUMPUR: “Kami kehilangan Tok (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) secara secara tidak dijangka, hari ini (semalam), dan sukar menerima hakikat beliau sudah tiada.”
Demikian luahan cucu Allahyarham Dr Siti Hasmah, Meera Alyanna Mukhriz, yang dimuat naik dalam Instagram Story, malam tadi.
Dalam perkongsian itu, Meera Alyanna yang mesra dikenali sebagai Ally, menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menghubungi beliau dan keluarga susulan pemergian neneknya itu.
Anak kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu turut meluahkan perasaan dialaminya susulan pemergian insan tersayang dipanggil sebagai ‘Tok’ yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya hanya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang sudah menghubungi saya dan keluarga saya, hari ini (semalam). Saya akan pastikan untuk membalas mesej anda secepat mungkin.
“Kami kehilangan Tok secara tidak dijangka dan sukar menerima hakikat bahawa beliau sudah tiada. Beliau sudah meninggalkan kesan sangat mendalam dalam diri saya, dan berdasarkan mesej-mesej anda, dalam diri ramai antara anda juga.
“Terima kasih sekali lagi atas kiriman mesej anda. Ia sangat bermakna buat kami. Mohon doakan Tok dalam doa anda,” tulisnya.
Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia jam 9.20 pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.











