Memuatkan artikel berkaitan…
PEMERGIAN Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali menutup satu perjalanan panjang seorang wanita yang telah menyaksikan perubahan Malaysia merentasi beberapa generasi.
Namun di sebalik pelbagai penghormatan yang diberikan kepadanya, ada sesuatu yang lebih besar untuk direnungkan, bagaimana seorang wanita jalani kehidupannya memikul amanah sebagai seorang doktor, ibu, tokoh masyarakat dan pemimpin tanpa kehilangan sifat kewanitaan, kepimpinan dan kemanusiaannya.
Tun Dr. Siti Hasmah bukan sekadar seorang wanita yang meniti usia melalui pelbagai fasa kehidupan dan sejarah negara.
Beliau sendiri adalah sebahagian daripada sejarah itu. Ketika peluang pendidikan tinggi untuk wanita Melayu masih terbatas, beliau memilih bidang perubatan dan menjadi antara wanita Melayu terawal menceburinya.
Perjalanan sebagai doktor membawa beliau kepada bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak.
Beliau berhadapan sendiri dengan realiti kehidupan masyarakat, termasuk keluarga di luar bandar yang ketika itu mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Pengalaman tersebut memperlihatkan satu dimensi kepimpinan yang kadangkala kurang diberikan perhatian iaitu kepimpinan melalui khidmat.
Kita sering mengaitkan pemimpin dengan jawatan, kuasa dan kemampuan membuat keputusan besar.
Hakikatnya, kepimpinan juga berlaku di klinik, hospital, sekolah, universiti, rumah dan dalam komuniti.
Seorang doktor yang menggunakan ilmunya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat sedang memimpin.
Seorang ibu yang membentuk nilai dan masa depan anak-anaknya juga sedang memimpin.
Tun Dr. Siti Hasmah menunjukkan bahawa ilmu mempunyai nilai apabila diterjemahkan kepada manfaat untuk manusia.
AMBIL IKTIBAR
Di sinilah institusi pengajian tinggi di Malaysia perlu mengambil iktibar.
Universiti tidak boleh sekadar menjadi kilang menghasilkan graduan dengan segulung ijazah.
Pendidikan tinggi seharusnya menjadi tempat membentuk manusia–manusia yang mempunyai ilmu dan kepakaran tetapi pada masa sama memiliki nilai, empati, integriti, keberanian serta kesedaran bahawa ilmu datang bersama amanah kepada masyarakat.
Persoalan yang perlu ditanya oleh universiti bukan lagi sekadar berapa ramai graduan berjaya dihasilkan atau berapa tinggi kedudukan universiti dalam penarafan dunia.
Persoalan yang lebih mendasar ialah: Apakah jenis manusia yang sedang kita lahirkan?
Kita memerlukan doktor yang bukan sahaja mampu mendiagnosis penyakit tetapi memahami penderitaan pesakit.
Kita memerlukan jurutera yang bukan sahaja membina struktur tetapi memikirkan keselamatan manusia dan kelestarian alam.
Kita memerlukan ahli ekonomi yang memahami angka tetapi tidak melupakan keadilan.
Kita memerlukan pentadbir yang cekap tetapi mempunyai integriti.
Kita memerlukan pemimpin yang bukan sahaja tahu bagaimana mendapatkan kuasa, tetapi memahami mengapa kuasa itu diberikan.
Justeru, pembangunan kepimpinan di universiti tidak seharusnya terbatas kepada kursus, jawatan persatuan atau program formal semata-mata.
Mahasiswa perlu diberikan ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat, berhadapan dengan realiti kehidupan, memimpin projek, menyelesaikan masalah sebenar dan belajar daripada kegagalan.
Pendidikan yang terbaik bukan hanya berlaku di dalam dewan kuliah.
Kadangkala pelajaran tentang kepimpinan yang paling bermakna diperoleh apabila mahasiswa turun ke lapangan dan bertemu manusia yang kehidupannya sangat berbeza daripada mereka.
Universiti juga perlu memberikan pengajaran dan pembelajaran dan ruang yang lebih besar kepada subjek tentang kepimpinan wanita, ibu dan seorang isteri.
Wanita tidak perlu menjadi seperti lelaki untuk dianggap sebagai pemimpin yang berkesan.
Mereka membawa pengalaman dan kekuatan tersendiri.
Empati, ketahanan emosi, kemampuan mendengar, sifat memelihara dan kebijaksanaan mengimbangi pelbagai tuntutan.
Semua ini bukan kelemahan, sebaliknya semakin diperlukan dalam dunia yang berhadapan ketidaktentuan, konflik dan perubahan yang begitu pantas.
Pengalaman sebagai seorang ibu membawa banyak nilai kepimpinan maka pembelajaran dan pengajaran untuk membentuk para ibu dengan kepimpinan amatlah penting.
Seorang ibu mendidik tanpa mengetahui sepenuhnya bagaimana hasilnya nanti.
Ibu membuat keputusan bukan hanya untuk hari ini tetapi memikirkan masa hadapan.
Ada waktunya perlu berlembut dan ada waktunya perlu bertegas.
Ada waktunya perlu memimpin dari hadapan dan ada masanya hanya perlu berada di belakang memberikan kekuatan.
Ibulah yang membentuk peminpin-pemimpin dunia.
Kepimpinan bukan sekadar mengarahkan manusia tetapi membangunkan manusia.
Pemimpin yang baik tidak mencipta pengikut selama-lamanya.
Mereka membangun pemimpin lain supaya suatu hari nanti mampu berdiri, berfikir dan memimpin sendiri.
Dalam hal ini, institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab besar.
Pensyarah bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan.
Kampus bukan sekadar tempat mendapatkan kelayakan, tetapi ruang membentuk watak.
Kurikulum pula tidak seharusnya hanya mengejar kompetensi pekerjaan, tetapi perlu membangunkan kecerdasan intelektual, emosi, spiritual dan budaya agar graduan mampu memahami dirinya, memahami orang lain serta mengetahui tanggungjawabnya kepada masyarakat.
Malaysia memerlukan generasi pemimpin yang bukan sahaja pintar tetapi mempunyai jiwa.
Kita memerlukan mereka yang melihat kepimpinan sebagai amanah dan bukannya keistimewaan.
Mereka perlu memahami bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar tanggungjawabnya untuk memberi kembali kepada masyarakat. Itulah antara legasi yang boleh kita pelajari daripada perjalanan Tun Dr. Siti Hasmah.
Beliau memperlihatkan bahawa seorang wanita boleh menjadi profesional, ibu, pemimpin dan anggota masyarakat tanpa perlu memilih hanya satu identiti.
Lebih penting, beliau menunjukkan bahawa sumbangan kepada negara tidak semestinya dilakukan dari pentas paling tinggi. Kadangkala perubahan bermula dengan seorang doktor yang merawat pesakit, seorang pendidik yang membentuk pemikiran, seorang ibu yang mendidik anak atau seorang mahasiswa yang memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Maka tugas universiti bukan sekadar melahirkan graduan untuk pasaran pekerjaan. Universiti harus melahirkan manusia untuk masyarakat dan pemimpin untuk masa hadapan.
Jika pendidikan tinggi Malaysia mampu menggabungkan ilmu dengan nilai, kecemerlangan dengan kemanusiaan serta kepakaran dengan jiwa khidmat, kita bukan sahaja akan menghasilkan lebih ramai profesional yang berjaya.
Kita berpeluang melahirkan lebih ramai insan yang meninggalkan kesan kepada kehidupan orang lain.
Mungkin itulah cara terbaik untuk mengenang Tun Dr. Siti Hasmah, bukan sekadar dengan mengingati apa yang telah beliau lakukan, tetapi dengan memastikan institusi pendidikan kita terus melahirkan generasi yang membawa nilai yang sama: Berilmu tanpa meninggi diri, memimpin tanpa kehilangan empati dan berjaya tanpa melupakan tanggungjawab kepada manusia. Itulah pemimpin yang Malaysia perlukan. Itulah manusia yang seharusnya dilahirkan oleh universiti kita. – UTUSAN
PENULIS ialah Dr. Zurina Abd Ghani, Pengarah, Pusat Kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










