PETALING JAYA: Pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial perlu mengutamakan adab, pertimbangan serta sifat kemanusiaan ketika menghasilkan kandungan khususnya berkaitan situasi terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, meskipun ramai ingin mengetahui perkembangan dan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu, tidak semua perkara perlu dijadikan bahan berita atau kandungan media sosial.
“Kita faham ramai yang nak tahu perkembangan terkini termasuk keadaan kesihatan Tun Dr. Mahathir. Tapi sebenarnya tak semua benda perlu dikejar, lebih-lebih lagi untuk buat berita atau content.
“Teknologi boleh berubah, kita boleh berbeza pandangan tetapi janganlah guna media sosial sampai kita hilang adab, moral dan sifat kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di platform X malam tadi.
Sehubungan itu, Fahmi menggesa semua pihak memberikan ruang dan masa kepada Dr. Mahathir serta keluarganya yang masih berduka atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Katanya, anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini turut meminta supaya ruang dan privasi diberikan kepada ahli keluarganya yang sedang berduka.
“Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berbentuk spekulasi, kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak sensitif atau sebarang kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Dan kalau kita terjumpa kandungan yang mengaibkan, yang menggunakan AI yang tak sensitif atau sampai mendoakan benda-benda yang bukan-bukan, jangan kongsi, komen dekat post tu, jangan bagi views.
“Kalau nampak content macam ini, terus lapor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis,” katanya. – UTUSAN










