PETALING JAYA: Persaingan merebut slot ke pusingan akhir Kejohanan Golf Perniagaan Asia (ABGC) terus sengit apabila dua pasukan mengesahkan tempat ke Langkawi selepas saingan pusingan kelayakan kedua di Glenmarie Golf & Country Club, semalam.
Seramai 88 peserta terdiri daripada pemain korporat dan usahawan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang dimainkan dalam format Team Best Ball Strokeplay dengan setiap pasukan bersaing merebut kedudukan terbaik bagi melayakkan diri ke pusingan akhir.
Katanya, saingan menyaksikan pertembungan sengit apabila hanya pasukan dengan catatan terbaik berjaya mengesahkan tempat ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada Oktober ini di The Els Club Teluk Datai, Langkawi.

Bagi kategori gross, gandingan Datuk Shamsul Azman Mahadi dan Mohamad Hisham Sarjeet Abdullah muncul juara selepas menampilkan permainan konsisten untuk menewaskan dua pasangan lain yang turut mencatatkan skor lima bawah par.
Tempat kedua menjadi milik RHR Eco Works Sdn. Bhd. yang diwakili Hizir dan Mohd. Firdaus Ahmad, manakala pasangan Can Builders Sdn. Bhd., Razid Sukiran dan Abu Qasim Mohamed Salleh berada di tempat ketiga.
Dalam kategori nett, pasangan Mohd. Rasidi Abdul Rasid dan Rajab Ahad Ismail muncul juara selepas keputusan countback, apabila mencatatkan skor sama lima bawah par.
Pasukan Air Selangor yang diwakili Azlyi Hardi Senawi dan Ahmad Fuad Zainudin berada di tempat kedua, manakala pasangan JZS Niaga & Nadi Tujuh Sdn. Bhd., Jeffry dan Edzuanizam di tempat ketiga.
Pusingan kelayakan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 9 Julai ini di Royal Perak Golf Club Ipoh sebelum saingan menuju ke pusingan akhir di Langkawi.
Kejohanan anjuran Elora Global Sdn. Bhd. itu terus mendapat sokongan pelbagai penaja korporat dan menjadi antara platform utama menghubungkan jaringan perniagaan melalui sukan golf di negara ini.
Antara penaja yang menjayakan kejohanan itu ialah Kueen Lai Group, Konsortium Jaringan Selangor, ENOTECH, Panasonic, Spectrum Outdoor dan KUSEL serta rakan industri lain.
Turut menyokong ABGC ialah Avisena Healthcare, Tenaga Nasional, Air Selangor, Ancom Nylex Berhad, World Klang Group, Skechers Golf dan Avant Aegis dengan BMW Millenium Welt KT, Iroas Timepiece, Fella Design & Bridgestone Golf, CrestLink, Bridgestone Golf dan Fraser & Neave Holdings, Selgate Corporation, Ascend SP (M) Sdn. Bhd., NTT Data Payment Services, Zus Coffee, Throatsil, Acti Tape, NuNature, LeBotanique, Ninety Go, Slingshot, Jake’s Charbroil, Le Botanical, Adsmunch, Pixel Block dan Mike Golf & Event Transpro.
Selain itu, Persatuan Golf Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI), Kota Permai Golf & Club, Glenmarie Golf & Country Club, Royal Perak Golf Club, Tropicana Golf & Country Resort, Horizon Hills Golf & Country Club, Staffield Country Resort, Templer Park Country Club dan The Els Club Teluk Datai. – UTUSAN







