PETALING JAYA: Kejohanan Golf Bisnes Asia (ABGC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform jaringan korporat peringkat nasional apabila menghimpunkan pemain golf korporat dari seluruh negara untuk bersaing merebut gelaran juara dan peluang beraksi pada pusingan akhir di Langkawi, Oktober ini.
Dengan matlamat memperkukuh hubungan perniagaan serantau, kejohanan tempatan itu meneruskan siri jelajahnya ke utara apabila Kelab Golf Diraja Perak menjadi tuan rumah pusingan kelayakan ketiga pada 9 Julai lalu.
Penganjuran itu menghimpunkan pemimpin korporat, usahawan dan golongan profesional yang berpeluang menjalinkan kerjasama serta membuka peluang perniagaan menerusi pengalaman bermain golf bersama dalam kejohanan berprestij di Malaysia.
Kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan Mohd. Zailani Dan (handikap 5) dan Azizul Rahman Abdul Rahim (12) apabila gandingan mewakili Kelab Golf Diraja Perak itu mencatatkan gabungan skor tiga pukulan di atas par dalam pertandingan Team Best Ball Strokeplay sekali gus muncul juara kategori gross.
Tempat kedua menjadi milik Shaikh Farid Abdul Hamid (7) dan Md. Nasir Hanapiah (8) dari Propadu Holdings Bhd. dengan catatan empat pukulan di atas par, manakala pasangan Meor Harizal (5) dan Azizul Azri (10) dari Mail Impian Sdn. Bhd. menduduki tempat ketiga selepas ketinggalan satu pukulan.
Persaingan kategori nett pula berlangsung sengit apabila tujuh pasukan terbaik masing-masing mencatatkan skor maksimum yang dibenarkan iaitu lima pukulan di bawah par.
Gandingan Wan Rusdi Che Omar (9) dan Mazlan Md. Ramly (10) dari Permai Ehsan yang bermain dengan gabungan handicap 19 diumumkan sebagai juara menerusi kiraan countback, mengatasi Tan Boon Aik (14) dan Low Teck Poh (5) dari Asia Global Pacific Sdn. Bhd..
Manakala pasangan Balau Korbu, Khairul Zuzaidy Hamsan (12) dan Mohamad Uzir Mohd. Tahir (10) menamatkan saingan di tempat ketiga.
Semua pemenang menerima hadiah penjagaan diri tajaan Panasonic Malaysia serta trofi.
ABGC dianjurkan di bawah Naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan menampilkan tujuh pusingan kelayakan di kelab-kelab golf berprestij di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pusingan kelayakan seterusnya dijadual berlangsung pada 23 Julai ini di Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya, Selangor.
Juara kategori gross dan nett bagi setiap pusingan kelayakan akan melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan berlangsung di The Els Club Teluk Datai, Langkawi dari 11 hingga 14 Oktober ini.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Elora Global dengan Kueen Lai Group of Companies yang berpangkalan di Selangor sebagai penaja utama. Penaja utama lain ialah Konsortium Jaringan Selangor, ENOTECH, Panasonic, Spectrum Outdoor dan KUSEL.
Turut menyokong ABGC ialah Avisena Healthcare, Tenaga Nasional, Air Selangor, Ancom Nylex Berhad, World Klang Group, Skechers Golf dan Avant Aegis, manakala BMW Millenium Welt KT, Iroas Timepiece, Fella Design serta Bridgestone Golf merupakan penaja hadiah Hole-in-One.
Penaja lain termasuk CrestLink sebagai rakan pakaian, Bridgestone Golf sebagai rakan peralatan dan Fraser & Neave Holdings sebagai rakan minuman.
Selain itu, lebih sedozen rakan tajaan dalam bentuk barangan iaitu Selgate Corporation, Ascend SP (M) Sdn. Bhd., NTT Data Payment Services, Zus Coffee, Throatsil, Acti Tape, NuNature, LeBotanique, Trinidad Hospitality, Ninety Go, Slingshot, Jake’s Charbroil, Le Botanical, Adsmunch, Pixel Block, The Signature 7 Hotel & Serviced Suites, Mike Golf & Event Transpro, Cocoqi dan Twinfish.
ABGC turut mendapat sokongan Persatuan Golf Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Menteri Besar Incorporated (MBI).
Selain itu, lokasi penganjuran iaitu Kota Permai Golf & Club, Glenmarie Golf & Country Club, Royal Perak Golf Club, Tropicana Golf & Country Resort, Horizon Hills Golf & Country Club, Staffield Country Resort, Templer Park Country Club dan The Els Club Teluk Datai. – UTUSAN








