PETALING JAYA: Lebih 90 pemain memeriahkan Grand Final Kejohanan Golf Bisnes Asia (ABGC) 2026 anjuran Elora Global di The Els Club Teluk Datai, Langkawi, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, 28 adalah peserta yang layak ke Grand Final, selebihnya adalah wakil-wakil dari lima negara Asean seperti China, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia, kumpulan Super Cars (Porsche, Ferrari, McLaren, Maserati, Lamborghini dan Aston Martin), syarikat-syarikat penaja serta wakil media.
Pasukan dari AJS Niaga, Mohamad Azim Syahmi dan Sharul Nizam Mohamed muncul juara bagi kategori gross selepas mencatat 70 pukulan keseluruhan dalam pertandingan menggunakan format two ball best ball. Mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan barangan tajaan Panasonic Malaysia.
Tempat kedua gross menjadi milik wakil Insight Alliance Capital Sdn. Bhd., Dato’ Shamsul Azman Mahadi dan Mohamad Hisham Sarjeet Abdullah dengan skor 71. Manakala tempat ketiga milik Megat Shariffudin Shaharuddin dan Md. Khairul Sarbany@Sulaiman dari Infrasel dengan 71 pukulan (OCB).
Bagi kategori nett, pasangan Nur Misuari Abd. Rahman (handikap 5) dan Abi Sufyan Zainudin (2) dari Dsevenfour Ventures dinobatkan sebagai juara selepas merekod skor 66 pukulan, mengatasi pemain dari Elizon Construction Sdn. Bhd., Dato’ Danion Lewis dan Gipson Lewis yang mencatat 67 pukulan, kelebihan satu pukulan.

Di tempat ketiga pula menjadi milik Nor Azhar Mohamad Noor dan Mohamed Izzad Ibrahim Mohamed Jagkeira dengan skor 81 pukulan.
Kesemua pemenang menerima hadiah tajaan Bridgestone, Panasonic Malaysia serta trofi.
Sementara itu, Pengerusi ABGC, Dato’ Hj Mohd. Salim Mohamed Sain melahirkan kesyukuran kerana menerima sambutan baik daripada semua peserta sepanjang kejohanan tersebut yang meliputi tujuh pusingan kelayakan dan Grand Final di Langkawi, baru-baru ini.
“Alhamdulillah secara keseluruhan sebanyak tujuh pusingan Kejohanan Golf Bisnes Asia 2026 yang dimulai dengan ilham Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan The Els Club Teluk Datai, Langkawi adalah pentas Grand Final.
“Syukur kepada Allah SWT kerana kejohanan Grand Final di The Els Club Teluk Datai mendapat sambutan menggalakkan daripada bukan sahaja para peserta Grand Final tetapi juga daripada kumpulan Super Cars selain para penaja dan media,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Menurut Dato’ Hj Mohd. Salim, lebih membanggakan ialah pada Grand Final Kejohanan Golf Bisnes Asia 2026 itu juga pihak penganjur turut menerima penyertaan peserta dari China, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia.
Kata beliau, selain menyertai kejohanan golf, mereka juga mencari peluang pelaburan dalam perniagaan di negara ini selain mewujudkan jaringan persahabatan dengan pemain-pemain daripada syarikat-syarikat tempatan.
Katanya, kerjasama baik yang ditunjukkan oleh semua peserta baik daripada syarikat tempatan mahupun luar negara pada Grand Final Kejohanan Golf Bisnes Asia 2026 menjadi perintis kepada pihak penganjur kejohanan iaitu Elora Global Sdn. Bhd. untuk terus menganjurkan kejohanan pada tahun hadapan.
“Semua peserta memberi sokongan dan sambutan yang padu dan mereka berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan. Insya-Allah pada tahun hadapan kejohanan ini akan diteruskan dan mungkin pusingan kelayakan akan ditambah menjadi sembilan pusingan berbanding tujuh pusingan opada tahun ini.
“Kita juga merancang untuk mengadakan edisi antarabangsa dan ini cadangan disambut baik dan dipersetujui selepas perbincangan diadakan dengan wakil dari Vietnam,” katanya kepada pemberita sebelum kejohanan Grand Final bermula di The Els Club Teluk Datai, baru-baru ini.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut memberikan sokongan bersama kepada ABGC Grand Final di Langkawi dengan menaja Majlis Makan Malam di Ramada by Wyndham Langkawi Marina.
Kejohanan anjuran Elora Global Sdn. Bhd. ini terus mendapat sokongan pelbagai penaja korporat dan menjadi antara platform utama menghubungkan jaringan perniagaan melalui sukan golf di negara ini.
Antara penaja yang menjayakan kejohanan itu ialah Kueen Lai Group (penaja utama), Konsortium Jaringan Selangor, ENOTECH, Panasonic, Spectrum Outdoor dan KUSEL serta rakan industri lain.
Turut menyokong ABGC 2026 ialah Avisena Healthcare, Tenaga Nasional, Air Selangor, Ancom Nylex Berhad, World Klang Group, Skechers Golf, Avant Aegis dan BatikAir dengan BMW Millenium Welt KT, Iroas Timepiece, Fella Design & Bridgestone Golf, CrestLink, Bridgestone Golf dan Fraser & Neave Holdings, Selgate Corporation, Ascend SP (M) Sdn. Bhd., NTT Data Payment Services, Zus Coffee, Throatsil, Acti Tape, NuNature, LeBotanique, Ninety Go, Slingshot, Jake’s Charbroil, Le Botanical, Trinidad Hospitality, Adsmunch, Pixel Block, The Signature Serviced & Hotel Suites, Cocoqi, Twinfish dan Mike Golf & Event Transpro.
Selain itu, Persatuan Golf Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI), Kota Permai Golf & Club, Glenmarie Golf & Country Club, Royal Perak Golf Club, Tropicana Golf & Country Resort, Horizon Hills Golf & Country Club, Staffield Country Resort, Templer Park Country Club, The Els Club Teluk Datai dan The Westin Langkawi Resort & SPA. – UTUSAN









