Nurfisya sudah setahun kenal suspek

Nurfisya sudah setahun kenal suspek

SHIKIN (tengah) ketika ditemui di pekarangan KPTM Lembah Sireh dekat Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gadis berusia 19 tahun yang maut dengan 61 kesan tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini, dipercayai mengenali salah seorang suspek yang sudah ditahan reman sejak hampir setahun lalu.

Seorang rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Shikin, berkata, dia tahu Allahyarham Nurfisya Zulkifly, 19, mengenali suspek itu namun tidak pasti sama ada mereka pernah keluar bersama atau sebaliknya.

Katanya, dia bagaimanapun tidak mengenali seorang lagi remaja yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Saya kenal Isya (Nurfisya) semasa sesi orientasi ketika kami mula-mula mendaftar ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini.

“Saya tidak melihat sebarang perubahan terhadap Isya sebelum kejadian itu. Kami sempat bersarapan bersama-sama sebelum ini dan dia kelihatan sangat ceria sambil berborak mengenai banyak perkara sebelum masing-masing pulang ke rumah sewa,” katanya ketika ditemui di pekarangan KPTM, Lembah Sireh di sini, semalam.

Sikin menyifatkan Allahyarham Nurfisya sebagai individu yang baik hati dan tidak menyangka rakannya itu diperlakukan dengan kejam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hubungan salah seorang suspek lelaki dengan gadis itu adalah sebagai rakan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif kejadian sehingga mangsa ditikam dan ditinggalkan di atas jalan raya sebelum ditemukan penduduk.

Terdahulu, empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat gadis tersebut.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan manakala pasangan suami isteri berusia antara 60 tahun dan 66 tahun itu direman tiga hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×