KOTA BHARU: Seorang guru yang tertekan pedal minyak kenderaan pelbagai guna (SUV) sehingga meragut nyawa pelajar Tingkatan 1, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, kelmarin memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Zuraifah Noor, 43, ibu saudara remaja berkenaan yang menjaganya sejak lima tahun lalu, ketika mereka bertemu semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Katanya, semasa bertemu dia melihat guru berkenaan masih trauma dengan kejadian tersebut.
“Dia (guru berkenaan) minta maaf, gelap mata dan tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku.
“Bila saya sedar, kejadian itu sudah berlaku,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Gayong di sini, semalam.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Azaudin Abdullah, 43, sudah memaafkan guru terlibat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Saya harap siasatan dijalankan dengan telus,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Azaudin memberitahu, buat masa ini, dia mahu menenangkan fikiran selepas kejadian mengejut menimpa arwah anaknya sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Katanya, dia akan berbincang dengan ahli keluarga yang lain termasuk Zuraifah.
“Saya sudah maafkan guru terbabit. Bagi saya, kalau orang minta maaf, kita sebagai orang Islam, kena maafkan.
“Saya perlu banyak berbincang dengan keluarga kerana didatangi ramai pihak yang menawarkan khidmat bantuan guaman.
“Buat masa ini, saya serahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dijalankan dengan telus. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah dan adik-adiknya kira-kira pukul 11 malam pada malam Jumaat lalu,” katanya.
Mohd. Azaudi berkata, dia sangat sedih kehilangan Nur Fatimatul Hawa atau lebih mesra dipanggil Hawa kerana arwah merupakan anak yang manja.
“Saya tidak sangka ciuman untuk Hawa pada malam itu merupakan pertemuan kali terakhir sebelum dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, guru berkenaan direman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










