KEJADIAN buli dan keganasan yang melibatkan pelajar sehingga membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadikan kita berhenti dan berfikir, apakah yang masih belum cukup dalam pendidikan anak kita?
Persoalan ini tidak mesti dijawab dengan mencari siapa yang perlu dipersalahkan. Sebaliknya, persoalan ini perlu membawa kita kepada satu lagi persoalan besar iaitu tujuan pendidikan itu sendiri.
Kita telah pun mempunyai sistem pendidikan yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dengan berpaksikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Namun, apabila seorang anak sanggup menyakiti, mengaibkan atau melakukan kekerasan terhadap manusia lain, kita perlu bertanya: Adakah pendidikan kita benar-benar telah sampai kepada jiwanya?
Pendidikan tidak boleh berhenti pada akal. Akal boleh dipenuhi dengan ilmu, fakta dan kemahiran, tetapi jiwa juga perlu diisi.
Jiwa yang kosong mudah mencari sesuatu untuk mengisinya, dan dalam dunia hari ini, terlalu banyak perkara yang tersedia dengan mudah yang boleh mengisi jiwa manusia.
Media sosial, algoritma, pempengaruh, rakan sebaya dan ”budaya trendy’ hadir hampir setiap masa dalam kehidupan kita. Generasi muda terdedah kepada pelbagai bentuk pemikiran, ideologi, nilai, gaya hidup tanpa sempadan.
Dalam keadaan ini, mereka bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan untuk memilih, tetapi juga jiwa yang mempunyai prinsip. Jiwa yang tahu siapa dirinya, mengetahui yang mana benar dan yang mana salah serta tidak mudah berubah hanya kerana sesuatu itu popular.
Dalam membicarakan jiwa pelajar, kita tidak boleh melupakan satu lagi jiwa yang sangat penting dalam pendidikan, iaitu jiwa pendidik.
Pendidikan merupakan pertemuan antara dua jiwa iaitu jiwa yang mendidik dan jiwa yang dididik.
Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan pengetahuan, malah cara pendidik bercakap, menegur, menghukum, memaafkan, menghargai dan mengawal kemarahan, semua ini menjadi pelajaran kepada yang dididik.
Namun, pendidik juga manusia. Mereka berhadapan dengan tekanan, beban tugas, penat, keletihan emosi dan pelbagai cabaran kehidupan. Pendidik juga memerlukan pengisian jiwa.
Sukar untuk membina jiwa yang tenang jika jiwa yang mendidiknya sendiri sentiasa kosong dan keletihan.
Ketika marah, kita teringat bagaimana Rasulullah SAW mengawal kemarahan. Pendidikan yang sebenar berlaku apabila jiwa yang terdidik bertemu dengan jiwa yang sedang dididik dan kedua-duanya menuju kepada pembentukan insan yang berilmu, beradab dan mempunyai rahmah dengan berkat hubungan jiwa dengan Rasulullah SAW. – UTUSAN
DR. NOR HANANI ISMAIL
Pusat Pengajian Bahasa,
Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia











