Kadar residivisme bekas banduan Malaysia hanya 11 peratus

Kadar residivisme bekas banduan Malaysia hanya 11 peratus

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar pengulangan jenayah atau residivisme dalam kalangan bekas banduan di Malaysia kini pada hanya 11 peratus dalam tempoh tiga tahun selepas dibebaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar itu sekali gus mencerminkan keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian itu membanggakan kerana daripada setiap 100 bekas banduan yang dibebaskan, hanya 11 orang kembali melakukan kesalahan sehingga dipenjarakan semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar tersebut menunjukkan modul latihan dan pemulihan yang dikendalikan Jabatan Penjara mempunyai keberkesanan dalam membantu penghuni kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.

“Sekiranya kadar pengulangan jenayah itu diukur dalam tempoh dua tahun seperti perbandingan dengan Singapura, kadar di Malaysia berada pada satu digit,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Katanya, pendekatan pemulihan itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada pelaksanaan hukuman, sebaliknya turut memperkasakan aspek akal, jasad dan rohani penghuni supaya mereka dapat membezakan perkara baik dan buruk.

Pada sidang akhbar di majlis sama, Saifuddin berkata, pencapaian itu tidak seharusnya menyebabkan Jabatan Penjara berasa selesa, sebaliknya perlu terus memperkukuh modul pemulihan dengan mengambil kira amalan terbaik negara luar.

Katanya, beliau berharap kadar residivisme negara dapat dikurangkan sehingga satu digit melalui penambahbaikan berterusan terhadap program pemulihan.

Mengulas faktor yang mendorong bekas banduan kembali melakukan kesalahan, beliau berkata, stigma dan prejudis masyarakat menjadi antara faktor utama yang menyukarkan mereka memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan.

Menurutnya, bekas banduan khususnya mereka yang terlibat dengan kesalahan dadah sering berdepan kesukaran mendapatkan penerimaan keluarga dan masyarakat, sekali gus menyebabkan mereka berasa seolah-olah masih berada dalam penjara.

“Jadi keluarnya di luar itu, ketika penerimaan masyarakat itu berbeza, tak bersedia menerima, tak bersedia menyokong, berada di luar itu persis seperti penjara kedua pula buat dia,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi membantu golongan berkenaan, Jabatan Penjara turut menyediakan rumah perantaraan untuk bekas banduan yang tidak diterima keluarga atau masyarakat selepas dibebaskan.

Katanya, sebanyak 13 rumah perantaraan disediakan bagi membolehkan mereka mendapat tempat tinggal sementara dan meneruskan kehidupan, termasuk bagi mereka yang memperoleh peluang pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini