SHAH ALAM: Seorang bekas banduan yang disyaki mengurung dan meliwat seorang pelajar lelaki tingkatan 2 pada Isnin minggu lalu ditahan polis dekat sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur.
Suspek seorang lelaki berusia 40-an itu ditahan pada Sabtu lalu dipercayai baru berpindah di bilik berkenaan dari rumah yang menjadi lokasi jenayah dekat Kota Kemuning, di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek juga dipercayai tinggal di bilik tersebut kerana bekerja sebagai pemungut hutang di ibu kota.
“Tangkapan sudah dijalankan dan suspek sedang ditahan reman selama tiga hari sehingga esok sementara siasatan sedang dilengkapkan. Sekiranya siasatan masih belum lengkap, kita akan mohon untuk sambung reman.
“Insya-Allah saya yakin akan dapat hasil positif daripada tangkapan tersebut. Sehingga tahanan dibuat juga tiada lagi mangsa baharu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Isnin lalu, seorang pelajar tingkatan 2 menghadapi trauma selepas dikurung lebih tiga jam dan diliwat oleh seorang lelaki dipercayai penjual pakej internet dekat sebuah rumah pangsapuri di Seksyen 32, Kota Kemuning.
Mangsa merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun dikatakan diajak bebual oleh suspek kira-kira pukul 8.05 pagi sebelum diperdaya dengan tawaran pakej internet telefon bimbit dengan syarat membantunya mengangkat barang dalam rumah di pangsapuri berkenaan.
Kemudian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan merupakan seorang bekas banduan atas kesalahan rogol, rompak dan kurung wanita pada 2007.
Shazeli menambah, suspek dibebaskan pada April tahun lalu dan pihaknya juga sedang menyiasat sama ada suspek bekerja dengan pemungut hutang dengan syarikat yang berlesen atau sebaliknya. – UTUSAN










