KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 mahasiswa Universiti Malaya (UM) bakal menikmati kemudahan penginapan menerusi fasa pertama projek Residensi Siswa yang dijadualkan siap pada 2030 dengan pembangunannya melibatkan tapak seluas 10.3 ekar.
Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pelaksanaan projek berkenaan perlu dipercepatkan selepas hampir tiga tahun melalui pelbagai proses bagi merealisasikan kemudahan penginapan untuk mahasiswa.
Katanya, keputusan dasar sudah dibuat dan tapak pembangunan tersedia, justeru tiada keperluan mengulang kelulusan yang tidak diwajibkan bagi melaksanakan projek berkenaan.
“Sehingga 2024, ramai mahasiswa kami menempuh perjalanan jauh dan mengikat perut untuk membayar sewa, lalu belajar sambil membawa keresahan mengenai tempat untuk berteduh.
“Residensi ini akan menjadi tempat berkembangnya persahabatan, kepimpinan, perdebatan, penemuan dan impian mahasiswa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di Kolej Kediaman Kelima UM di sini semalam.
Noor Azuan berkata, UM mengambil masa lebih setahun untuk membuat pembentangan kepada pelbagai agensi bagi mendapatkan pandangan dan kelulusan berhubung pembangunan projek tersebut.
Katanya, pembentangan Belanjawan 2026 pada 9 Oktober 2025 menyentuh krisis penginapan universiti, selain mengumumkan UM akan merintis pembinaan residensi.
“Model pembangunan diputuskan, pembiayaan dimuktamadkan dan terma pelaksanaan diperhalus dalam Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara pada 15 Disember 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“UM diberi amanah untuk berunding serta menggerakkan projek ini. Amanah itu kami terima sebagai hutang kepada seluruh mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan tempat tinggal yang selamat menjadi asas kehidupan bermaruah bagi mahasiswa universiti berkenaan.
Katanya, kadar penginapan di residensi berkenaan akan dikekalkan pada tahap munasabah manakala pelaksanaan projek itu akan mematuhi undang-undang serta tatakelola yang ditetapkan. – UTUSAN











