BACHOK: Impian seorang pelajar cemerlang yang meraih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatiff (PNGK) 4.0 dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) untuk melanjutkan pengajian hampir terkubur apabila keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung kos tersebut.
Namun, Muhammad Shah Putra Che Awang, 19, enggan mengalah apabila sanggup meminjam wang daripada ibu saudaranya bagi melunaskan bayaran pendahuluan RM500 demi menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di UM.
Katanya, pendapatan ibunya sebagai pembantu kedai yang tidak menentu menyulitkan usaha untuk menampung kos pengajiannya.
“Mujurlah ibu saudara sudi membantu sekali gus membolehkan saya melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500.
“Saya tidak mahu mensia-siakan keputusan cemerlang yang diperoleh sebelum ini. Selain itu, saya mahu mengubah nasib keluarga dan membalas jasa ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tanpa berselindung, Muhammad Shah Putra berkata, sehingga kini dia belum mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan sebaik sahaja memulakan pengajian.
Katanya, pendapatan hasil kerja sambilan sebagai pembakar sate tidak mencukupi selain wang berkenaan digunakan untuk membantu ibunya melunaskan bayaran sewa rumah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhammad Shah Putra Che Awang iaitu 0300941000082857.-UTUSAN.











