SEREMBAN: Masyarakat diingatkan agar tidak menjadi ‘penjara kedua’ kepada bekas banduan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan, kejayaan proses reintegrasi tidak hanya bergantung kepada sistem dan jabatan semata-mata.
Sebaliknya ia memerlukan komitmen masyarakat untuk menerima dan memberi peluang kedua kepada mereka yang mahu berubah.
Menurut beliau, tanpa penerimaan tersebut, segala modul latihan dan persediaan yang diberikan kepada Orang Diselia (ODS) sepanjang tempoh pemulihan tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya.
“Hentikan hukuman sosial. Apabila mereka keluar nanti, jangan kita menjadi penjara kedua buat mereka dengan pandangan sinis dan kata-kata nista.
“Ubat paling mujarab buat mereka adalah tangan yang menyambut, bukan telunjuk yang menghukum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PRP Mantin tidak hanya lokasi menjalani hukuman, sebaliknya sebagai ‘titik mula’ kepada pembinaan semula kehidupan individu yang pernah tersasar.
Katanya, hampir 500 ODS di pusat tersebut dibimbing supaya tidak terus menoleh ke belakang dengan penyesalan, sebaliknya memandang ke hadapan dengan membawa bekalan kemahiran dan nilai baharu.
“Kita tidak mahu mereka keluar nanti merayu peluang, tetapi keluar dengan bekalan gaji dan kemahiran untuk keluarga,” katanya. – UTUSAN










