KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) merupakan undang-undang ‘drakonian’ yang disalahgunakan bagi menahan individu yang tidak menimbulkan ancaman keselamatan negara.
Pandangan itu diberikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan terdapat undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) untuk menangani keganasan dan jenayah ganas serta Kanun Keseksaan bagi menutup kekurangan undang-undang lain.
“Apakah peruntukan yang tiada dalam Kanun Keseksaan untuk menangani jenayah terancang? Mengapa Sosma digunakan untuk menahan anggota GISB?
“Bagaimana pula Maria Chin yang ketika itu Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan kemudian menjadi ahli parlimen, boleh ditahan di bawah Sosma hanya kerana memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil? Apakah ancaman keselamatan negara yang dibawanya? Itu menunjukkan bahawa akta ini tidak adil dan bersifat drakonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan kenyataan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengenai cadangan pindaan Sosma.
Hassan turut menyatakan bahawa Pakatan Harapan, yang kini sebahagian daripada kerajaan, gagal melaksanakan reformasi sebenar kerana pemansuhan undang-undang ‘drakonian’ merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum mereka.
“Dalam menghadapi pilihan raya, kami berjanji dalam manifesto untuk memansuhkan sebarang undang-undang ‘drakonian’ dan kini kita masih ada dua tahun lagi di Parlimen. Jika kita tidak memansuhkan ini, ia bermakna kita, termasuk saya sendiri, telah gagal melaksanakan reformasi yang sebenar.”
Pemansuhan Sosma merupakan sebahagian daripada manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2018.
Pada 2023, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Sosma masih relevan dan perlu untuk melindungi keamanan dan keselamatan negara.
Beliau berkata Sosma berdasarkan undang-undang prosedur dan digunakan untuk kesalahan keselamatan tertentu yang diperincikan dalam Jadual Pertama akta tersebut. – UTUSAN










