KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Antibuli 2025 bukan sekadar dasar kerajaan tetapi cerminan langsung suara masyarakat yang mahukan perlindungan lebih kukuh dan suatu respon yang nyata terhadap cabaran-cabaran menangani kes buli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat empat cabaran yang menghalang isu buli ditangani secara tuntas.
Menurut beliau, undang-undang sedia ada terlalu berorientasikan jenayah sedangkan ramai mangsa memerlukan pemulihan dan perlindungan, bukan mahkamah jenayah.
Katanya, cabaran kedua adalah mengenai mekanisme pengedalian kes yang amat tidak seragam, di mana aduan sama mungkin dipandang remeh di sekolah A, tetapi dianggap berat di sekolah B, walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mempunyai garis panduan.
“Cabaran ketiga adalah, masyarakat kurang peka terhadap bentuk-bentuk buli halus seperti peminggiran sistematik, ejekan berterusan dan pemerasan psikologi.
“Cabaran keempat, standard pembuktian jenayah iaitu melampaui keraguan munasabah, terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk kanak-kanak yang sering tidak mempunyai bukti fizikal atau saksi. Dalam saluran kes sivil pula, walaupun standard pembuktian lebih rendah, prosesnya di mahkamah mengambil masa yang sangat panjang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, beban sistemik turut bertambah sekiranya mengambil kira jumlah besar sekolah dan pelajar di Malaysia yang di bawah KPM sahaja terdapat 10,245 buah sekolah dengan jumlah murid berdaftar di peringkat prasekolah, rendah dan menengah mencecah 5.1 juta orang.
“Dalam ekosistem pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula, Mara menguruskan 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara dengan anggaran 7,650 pelajar, manakala lima buah Sekolah Henry Gurney menempatkan sekitar 655 penghuni aktif pada tahun 2025.
“Secara keseluruhan, negara mempunyai 10,307 institusi pendidikan melibatkan lebih 5.13 juta pelajar. Dengan skala sebesar ini, mana-mana dasar atau undang-undang baharu berkaitan anti-buli perlu direka dengan cakupan yang luas, pelaksanaan yang konsisten, dan mekanisme yang responsif,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 12 sesi Town Hall sudah diadakan di seluruh negara dengan penglibatan besar antara 300 hingga 400 peserta setiap sesi.
“Daripada sesi-sesi ini, satu mesej jelas bergema: Rakyat mahukan standard nasional yang jelas dan tegas untuk menangani buli.
“Hampir semua negeri menuntut definisi buli yang seragam, garis panduan sekolah selamat, mekanisme aduan yang konsisten, dan perlindungan kepada guru serta murid,” katanya.
Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) meluncurkan portal maklum balas awam bagi RUU Antibuli 2025 dan menerima sebanyak 509 maklum balas yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa, guru, komuniti profesional, pertubuhan masyarakat dan agensi kerajaan.
“Dapatan portal ini menunjukkan konsensus yang sangat jelas. Sebanyak 98 peratus responden bersetuju bahawa satu insiden tunggal yang serius wajar diklasifikasikan sebagai buli, manakala majoriti besar menyokong agar undang-undang merangkumi semua bentuk tingkah laku membuli, termasuk fizikal (95.87 peratus), siber (93.32 peratus), psikologi (92.34 peratus), verbal (90.77 peratus) dan sosial (87.82 peratus).
“Ini membuktikan bahawa masyarakat menuntut definisi undang-undang yang komprehensif dan inklusif,” katanya.
Tambahnya, setiap prinsip-prinsip yang diketengahkan dalam sesi-sesi Town Hall mahupun melalui portal tersebut sudah diterjemahkan terus ke dalam kerangka RUU berkenaan.
“RUU Antibuli 2025 ini bukan sekadar dasar kerajaan, ia adalah cerminan langsung suara masyarakat yang mahukan perlindungan lebih kukuh dan suatu respon yang nyata terhadap cabaran-cabaran yang dinyatakan sebentar tadi,” katanya. – UTUSAN










