Jumlah belia terlibat penyalahgunaan dadah meningkat

Jumlah belia terlibat penyalahgunaan dadah meningkat

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah golongan belia yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini didapati meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia meningkat ketara dari tahun 2022 hingga 2024.

Katanya, seramai 85,657 belia direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada 2022 tetapi ia meningkat kepada 90,520 orang pada 2023 dan seterusnya melonjak kepada 116,245 orang pada 2024.

“Ini peningkatan sebanyak 28.4 peratus. Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu sahaja, seramai 78,674 orang belia telah direkodkan terlibat dengan 66,078 orang atau 84 peratus daripada jumlah tersebut menyalahgunakan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS).

“Hasil daripada kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama AADK ini merumuskan bahawa punca utama penglibatan belia dalam penyalahgunaan dadah adalah keinginan untuk mencuba, menghilangkan tekanan dan pengaruh rakan-rakan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang memintanya menyatakan nyatakan sama ada kajian menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca utama yang mendorong golongan terjebak dalam aktiviti pengedaran dadah atau menjadi penyeludup dadah.

Saifuddin Nasution berkata, hasil kajian ke atas 249 orang responden mendapati 30.1 peratus daripada mereka mengambil dadah kerana ingin mencuba dan 20.9 peratus lagi disebabkan menghadapi tekanan.

Menurut beliau, 18.9 peratus pula disebabkan pengaruh rakan, berasa keseronokan (9.6 peratus), untuk melaksanakan kerja (9.2 peratus) dan lain-lain sebab seperti untuk tidur, jual serta dapatkan tenaga pula 4.5 peratus.

Selain itu, katanya, kajian sama mendapati 3.6 peratus dari responden mahu mendapatkan ketenangan, terpengaruh (dua peratus) dan dianiaya oleh kawan (1.2 peratus).

“Selain itu, dinyatakan mereka memperolehi dadah atau bahan ialah secara beli sendiri (53.4 peratus), kawan (43 peratus), ahli keluarga (dua peratus) dan lain-lain (1.6 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×