Malaysia lancar pusat ujian cip termaju bertaraf dunia

Malaysia lancar pusat ujian cip termaju bertaraf dunia

ANWAR Ibrahim ketika melancarkan Malaysia Semikonduktor IC Design Park 2 (IC Park 2), di Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Malaysia memper­kukuh jaringan dagangan glo­bal dengan memberi tumpuan kepada kemasukan pelaburan berteknologi tinggi khususnya dalam sektor semikonduktor, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan terus muncul sebagai antara negara dagang utama di rantau ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kini semakin dikenali sebagai hab ASEAN yang bersifat antarabangsa bukan hanya serantau tetapi turut melibatkan negara seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea, India, Australia, New Zealand, Brazil dan Afrika Selatan.

“Malaysia dan ASEAN akan hanya berjaya jika kita memperkukuh kerjasama pelaburan, khususnya dalam bidang digital dan AI.

“Pada masa yang sama, kita perlu memperluaskan jaringan dengan Amerika Syarikat kerana 25 peratus keperluan elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor Amerika Syarikat datang dari Malaysia, melibatkan ribuan rantaian bekalan dan puluhan ribu pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran Malaysia Semikonduktor IC Design Park 2 (IC Park 2) di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, Malaysia juga mengamalkan dasar centrality (seimbang) dan bersahabat dengan semua, termasuk China yang sedang berkembang pesat.

Malah, Anwar berkata, hu­bungan baik dengan China, Brazil dan Afrika Selatan juga telah membuka ruang perdagangan baharu termasuk di benua Afrika dan Amerika Selatan.

“Malaysia adalah negara dagang. Oleh itu, kita mesti membuka ruang pelaburan lebih luas dan meningkatkan ke­upayaan inovasi.

“Tidak cukup sekadar menjadi pengeluar untuk pihak lain, kita mesti jadi pencipta dan inovator sendiri. Sebab itulah transformasi digital dan AI menjadi teras utama dalam dasar ekonomi MADANI,” katanya.

Malaysia kini mencapai satu lagi kejayaan dalam industri semikonduktor dengan perasmian pusat ujian cip termaju menerusi pelancaran IC Park 2 yang terletak di terletak di CoPlace 9, di sini.

Pusat ini akan menjadi fasi­liti ujian cip bertaraf dunia pertama di rantau Asia Tenggara, dan menjadi pemangkin utama dalam usaha Malaysia membina ekosistem semikonduktor yang menyeluruh daripada reka bentuk hingga pengujian dan pengesahan cip. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN