SHAH ALAM: Penduduk luar bandar di Selangor didakwa memperoleh pendapatan jauh lebih rendah sehingga RM34,536 setahun pada kadar median berbanding di bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia – PN, Muhammad Hilman Idham berkata, situasi tersebut adalah realiti apabila keluarga di luar bandar kehilangan hampir satu tahun gaji penuh berbanding di bandar.
“Pendapatan median bandar bersamaan RM10,805 sebulan. Pendapatan median luar bandar pula RM7,927 sebulan. Perbezaan sebanyak RM2,878 atau RM34,536 setahun.
“Ini bermakna, keluarga luar bandar kehilangan hampir satu tahun gaji penuh berbanding keluarga luar bandar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendedahkan kajian sosioekonomi terhadap situasi yang didakwa membelenggu ekonomi negeri ini.
“40 peratus rakyat berpendapatan rendah hanya menerima 21 peratus daripada pendapatan negeri. 10 peratus rakyat berpendapatan tinggi menguasai 42 peratus pendapatan negeri iaitu hampi separuh kekayaan Selangor.
“Golongan teratas (T20 dan M40 tier 1) menguasai 28 peratus pendapatan negeri, enam kali ganda lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.
Katanya lagi, kesenjangan itu dilihat semakin meluas jika dibandingkan mengikut daerah apabila Sepang, Petaling dan Gombak mencatatkan purata pendapatan boleh guna lebih tinggi dengan perbezaan hampir RM95,000 setahun berbanding Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Ini bermakna, satu keluarga di Sabak Bernam perlu bekerja hampir tiga tahun untuk mendapat pendapatan setahun keluarga di Sepang. Hal itu amat membimbangkan, jurang ekonomi yang melebar akan memberi kesan dan berlapis kepada masyarakat, ekonomi, kestabilan politik dan hubungan sosial,” ujarnya. – UTUSAN










