PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa genosid yang berlaku di Gaza sejak dua tahun lalu adalah berpunca daripada tindakan negara itu terus melindungi dan menyalurkan bantuan kepada Israel.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kekejaman Israel terus berleluasa kerana perlindungan politik dan bantuan persenjataan daripada AS, sehinggakan rakyat Palestin terus menderita sejak sekian lama.
Beliau berkata, MAPIM mahu Perdana Menteri dengan tegas menyatakan sikap Malaysia tentang genosid di Gaza kepada Presiden AS, Donald Trump dan menggesa kuasa besar dunia itu menekan sekutunya untuk menghentikan kekejamannya.
“Trump mesti akur kepada undang-undang antarabangsa dan Israel telah melanggarnya berulang kali secara jelas dan nyata kerana mendapat sokongan dari AS. Oleh kerana itu, Israel langsung tidak peduli akan sebarang resolusi dan keputusan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Mahkamah Dunia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pada masa sama, Mohd.Azmi berkata, Perdana Menteri juga perlu menyatakan bahawa sebarang kepungan di Gaza perlu dinoktahkan dengan membuka koridor kemanusiaan seluas-luasnya untuk disalurkan kepada Gaza.
Katanya, perkara ini juga termaktub dalam 20 perkara yang digariskan dalam pelan damai yang dicapai di Sidang Kemuncak Gaza di Mesir tempoh hari.
“Bagaimanapun, seperti apa yang kita lihat tiada jaminan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk kerana Israel menyekatnya. Sepatutnya kira-kira 700 kontena dihantar ke Gaza sehari namun hanya 100 ke 200 kontena saja masuk setakat ini.
“Jadi mahu Perdana Menteri menggesa Trump untuk lebih tegas terhadap Israel yang dilihat sedang melanggar perjanjian 20 perkara disusun olehnya sendiri. Tak ada cara lain melainkan AS sendiri menekan sekutunya itu,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata, selain senada dengan Mapim, pihaknya juga mahu Perdana Menteri menyatakan kepada Trump bahawa AS perlu memastikan pembentangan Presiden Colombia berkaitan Resolusi 377A(5) di PBB dapat diteruskan supaya sebuah negara Palestin merdeka dapat ditubuhkan.
Katanya, resolusi itu antara lainnya mensyaratkan bahawa semua sempadan Palestin yang dijajah Israel sejak 1997 dipulangkan dan semua rakyat Palestin di luar negara diberi hak untuk kembali ke tanah asal mereka.
“Pada masa sama, kita perlu jelaskan bahawa Hamas perlu kekal sebagai pentadbir dan menjaga keselamatan rakyat Palestin di Gaza. Mereka tidak boleh menurunkan senjata dan dihalau keluar dari tanah air mereka.
“Itu adalah hak untuk semua negara iaitu bagi melindungi keselamatan rakyatnya sendiri,” katanya. – UTUSAN










