PETALING JAYA: Rakyat Palestin terus berdepan penderitaan tanpa henti, kehilangan keluarga, tempat tinggal dan sumber kehidupan akibat daripada tindakan zalim tentera rejim zionis di wilayah tersebut.
Hospital musnah, sekolah ranap dan kanak-kanak membesar dalam ketakutan sementara dunia masih gagal menghentikan kekejaman yang berterusan.
Serangan masih terus dilancarkan, manakala bantuan kemanusiaan sukar disalurkan akibat sekatan berterusan rejim Zionis yang menjerut kehidupan jutaan penduduk di wilayah itu.
Namun menurut Pakar Geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan, konflik di Gaza turut memperlihatkan perubahan besar terhadap kedudukan Israel di pentas dunia apabila rejim Zionis itu semakin disisih dan hilang sokongan antarabangsa.
Katanya, konflik yang berlarutan sejak dua tahun lalu itu turut membawa kesan negatif terhadap kedudukan diplomatik Israel apabila semakin banyak negara di seluruh dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.
“Salah satu janji Trump kepada Netanyahu mengenai 20 perkara gencatan senjata di Gaza adalah untuk mengembalikan Israel ke masyarakat antarabangsa kerana pada ketika ini, Israel dianggap sebagai pariah dalam kalangan masyarakat antarabangsa berikutan perlakuan mereka yang melampau terhadap rakyat Palestin.
“Israel dulu memang banyak sokongan dan hari ini, 156 negara telah pun memberi pengakuan bahawa wujudnya negara Palestin yang merdeka kerana mereka tidak boleh melihat apa yang berlaku di Gaza itu berlarutan.
“Jadi, itu saya lihat sebagai kesan utama konflik ini selepas dua tahun berlalu, bagaimana Israel tersisih dan kalau nak diikutkan, hanya Amerika Syarikat (AS) sahaja yang memberi sokongan 100 peratus terhadap Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas misi Global Sumud Flotilla (GSF), Azmi berpendapat, ia bukan strategi utama untuk menekan Israel, namun tetap memberi kesan tidak langsung dalam meningkatkan kesedaran global terhadap kekejaman rejim itu.
“Saya rasa misi itu bukan strategi utama untuk menekan Israel. Hanya AS yang boleh melakukannya. Tapi kesan sampingannya, kalau kita lihat contohnya di Itali, berlaku protes besar-besaran di Rome, Naples dan bandar-bandar besar Itali.
“Protes itu mencerminkan kebangkitan rakyat dunia menentang kekejaman Israel dan tekanan terhadap pemimpin Eropah yang masih enggan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, tekanan terhadap Israel perlu diteruskan di semua peringkat walaupun rejim itu terus dilindungi oleh AS melalui kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Perlindungan veto tidak bermakna dunia harus berdiam diri. Selain PBB, organisasi serantau seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU) boleh memainkan peranan menekan Israel,” katanya.
Katanya, negara kuasa besar seperti China dan Russia juga boleh menggunakan pengaruh mereka bagi menyeimbangkan tekanan global.
“Tindakan Israel memintas misi flotilla di perairan antarabangsa jelas bercanggah dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) yang menjamin kebebasan pelayaran bagi kapal kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN










