Kerajaan tetap pertahan hak Melayu

Kerajaan tetap pertahan hak Melayu

ANWAR Ibrahim melakukan Gimik Peluncuran Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) Versi 2.0 sempena Majlis Penutup IJTIMAK Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia di Iskandar Puteri, Johor, semalam. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Perpaduan negara ini terjamin jika hak majoriti Melayu dan Islam dipertahankan tanpa menafikan hak kaum lain yang juga warga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan asas perpaduan negara yang dipegang selama ini.

“Kalau kita mahu perpaduan, negara ini majoriti Melayu, Islam, mesti pertahankan hak mereka. Tetapi negara ini juga mesti jamin hak semua warganegara, Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan,” katanya dalam program Sesi Temu Anwar bersempena Perhimpunan Agung Pengangkap Johor Kali Ke-27 Tahun 2025 di Arena Utama, Tanjung Leman di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, hak anak muda berusia 18 tahun untuk mengundi perlu disempurnakan kerana ia dijamin Perlembagaan dan menjadi asas kepada sebuah negara demokrasi.

Beliau berkata, hak tersebut memberi peluang kepada gene­rasi muda menentukan kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dan bukan sekadar mengambil kesempatan mengaut keuntungan untuk keluarga atau kroni.

“Kalau kita mahu pemimpin yang dipilih tidak menyakau duit rakyat, balak ke kontrak ke itu beri pada suku-sakat tanpa proses yang betul, kalau kita mahu negara ada dasar pendidikan yang baik kalau mahu jamin perpaduan, negara ini majoriti Islam tapi negara mesti jamin hak semua warganegara termasuk kaum Cina, India, Orang Asli, Dayak dan Kadazan.

“Kalau kita faham ini semua maka kita akan pilih kepimpinan, wakil kita yang boleh sampaikan hasrat kita. Kadang kita lupa dengar banyak fitnah di media sosial tanpa menilai dengan ilmu.

“Kadang-kadang orang dituduh ejen Israel, terus kita percaya tanpa menilai, jadi kita kena latih diri kita supaya memahami dasar kerana umur 18 cukup matang yang boleh membaca, boleh menilai,” katanya.

Beliau juga menekankan agar rakyat jangan sekadar menjadi orang yang turut tanpa menggunakan akal fikiran dengan baik.

“Yang saya tekankan tadi yang paling asas apa? Akhlak. Mana mungkin dia kata kita ini pejuang tapi kerja itu hina orang, bagaimana kita kata kita ini nak menjadi pejuang kemudian kerja kita maki hamun hina dan fitnah orang, dengan itu terbatal.

“Jadi, kita pilih orang yang boleh menyampaikan hasrat apa lagi perjuangan anak-anak muda. Anak muda sekarang jumlahnya besar dan kalau tidak diberikan kesempatan dan ruang dan latihan, negara akan rugi kerana siapa yang akan menjadi pewaris? Anak muda,” katanya.

Menurut Anwar, konsep Malaysia Madani bukan sekadar slogan, sebaliknya teras penting dalam membina sebuah negara berdaya maju tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, meskipun negara kini giat mengejar arus transformasi digital, teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI), rakyat tidak boleh melupakan asas utama iaitu akhlak, keadilan dan sikap saling menghormati.

“Dia pandai AI, tetapi dalam masa sama masih wujud sikap hina-menghina antara kaum, benci-membenci dan dia faham agama tapi agama digunakan untuk memupuk kebencian,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN