Wartawan pekak dedah derita Gaza guna bahasa isyarat

Wartawan pekak dedah derita Gaza guna bahasa isyarat

BASEM sering merakam video situasi perang Gaza menggunakan bahasa isyarat untuk dikongsikan kepada lebih 141,000 pengikutnya di Instagram.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kurang upaya pendengaran tidak menghalang seorang wartawan pekak di Gaza daripada menyampaikan laporan mengenai situasi perang di wilayah itu menggunakan bahasa isyarat.

Basem Alhabel, 30, sanggup mengambil risiko merakam dirinya di tengah runtuhan dengan bedilan serangan bom, demi memberi penerangan kepada komuniti pekak Palestin dan pengikutnya di media sosial mengenai bahaya konflik yang sedang berlaku.

Menurut Basem, usahanya bertujuan meningkatkan kesedaran tentang perang, daripada serangan Israel yang memusnahkan hingga kebuluran melanda majoriti penduduk, terutama dalam kalangan mereka berkeperluan khas di Palestin dan luar negara.

Serangan Israel yang berlarutan hampir dua tahun meragut lebih 60,000 nyawa, dengan ramai penduduk mengadu suara mereka tidak didengari dunia meskipun penderitaan semakin memuncak.

“Saya mahu menyampaikan suara saya kepada dunia, dan suara orang pekak yang tidak boleh bercakap atau mendengar, supaya ada yang dapat membantu kami.

“Saya cuba membantu, merakam dan membuat video dari pelbagai lokasi, kemudian menyiarkannya supaya suara kami dapat didengari di seluruh dunia,” katanya melalui rakan jurubahasa, Mohammed Moshtaha.

Mempunyai 141,000 pengikut di Instagram, Basem memaparkan dirinya mengenakan jaket kalis peluru dan topi kaledar, turut menyiarkan imej kanak-kanak kebuluran dengan tubuh kurus kering serta penderitaan lain di Gaza.

Akaun media sosialnya turut menyiarkan imej penduduk mengutip tepung di atas tanah sambil menggunakan bahasa isyarat untuk menerangkan penderitaan rakyat Gaza.

“Seperti yang anda lihat, orang ramai sedang mengutip tepung bercampur pasir,” katanya melalui bahasa isyarat.

Basem dan keluarganya menjadi pelarian sejak perang tercetus, di mana mereka kini berlindung di sebuah sekolah yang dipenuhi khemah.

“Tiada ruang untuk seseorang berehat walaupun seketika. Saya tinggal di sekolah itu selama setahun setengah,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×