ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam merasmikan paip sepanjang 7.5 kilometer (km) yang akan menghantar air ditulenkan dari loji penapisannya di Mesir ke Semenanjung Gaza.
Projek itu dijangka meringankan beban keluarga Palestin yang menghadapi kekurangan air minuman sejak perang Israel bermula sejak Oktober 2023.
Paip yang dibina di bawah Operasi Chivalrous Knight 3 UAE itu mempunyai kapasiti kira-kira dua juta gelen sehari, mampu menyalurkan air kepada kira-kira sejuta penduduk.
Ia disambungkan ke takungan Al-Buraq di Khan Younis, yang mempunyai kapasiti 5,000 meter padu, memastikan kawasan tambahan dapat mengakses air bersih, lapor agensi berita rasmi WAM.
Sebelum ini, UAE menubuhkan enam loji penapisan air, menyediakan takungan dan kapal tangki, serta menyelenggara telaga untuk rakyat Palestin di Gaza.
UAE juga bekerjasama dengan negara dan organisasi lain, termasuk Jordan serta Indonesia, untuk menjalankan operasi bantuan dari udara di bawah inisiatif Bird of Goodness, menghantar bekalan penting kepada penduduk Gaza.- AGENSI










