PM Sweden dikritik kerap guna ChatGPT dalam pentadbiran negara

PM Sweden dikritik kerap guna ChatGPT dalam pentadbiran negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, berdepan kecaman selepas mengakui kerap menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai rujukan kedua dalam melaksanakan tugas mengetuai kerajaan.

Kristersson, yang mengetuai kerajaan campuran menerusi Parti Moderat berkata, beliau menggunakan perkhidmatan AI termasuk ChatGPT dan platform Perancis, LeChat.

Menurutnya, beberapa rakan sekerja dalam kerajaan turut menggunakan teknologi tersebut dalam urusan harian mereka.

“Saya sendiri menggunakannya agak kerap, sekurang-kurangnya sebagai pandangan kedua. Apa yang orang lain lakukan? Dan patutkah kita fikirkan sesuatu yang bertentangan sepenuhnya? Soalan-soalan seperti itu,” katanya kepada akhbar perniagaan Sweden, Dagens industri.

Bagaimanapun, pakar teknologi menyuarakan kebimbangan terhadap amalan ahli politik menggunakan AI, manakala akhbar Aftonbladet dalam satu editorial menuduh Kristersson taksub dengan psikosis AI oligarki.

“Anda perlu sangat berhati-hati,” kata Simone Fischer-Hübner, penyelidik sains komputer di Universiti Karlstad sambil memberi amaran agar tidak menggunakan ChatGPT bagi maklumat sensitif.

Jurucakap Kristersson, Tom Samuelsson kemudian menjelaskan perdana menteri tidak mengambil risiko dalam penggunaan AI.

“Sudah tentu bukan maklumat sensitif keselamatan yang dimasukkan ke situ. Ia lebih digunakan sebagai rujukan kasar sahaja,” katanya.

Namun Prof Virginia Dignum, pakar kecerdasan buatan bertanggungjawab dari Universiti Umea berkata, AI tidak mampu memberikan pandangan bermakna terhadap idea-idea politik dan hanya mencerminkan pendapat pembangunnya sahaja.

“Semakin banyak beliau bergantung kepada AI untuk perkara mudah, semakin besar risiko timbulnya keyakinan berlebihan terhadap sistem itu. Kita mesti tuntut jaminan kebolehpercayaan. Kita tidak mengundi ChatGPT,” katanya kepada akhbar Dagens Nyheter. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN