Pandu lalu AI Taco Bell cetus kecoh gara-gara pesanan 18,000 cawan air

Pandu lalu AI Taco Bell cetus kecoh gara-gara pesanan 18,000 cawan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Restoran makanan segera dari Amerika Syarikat (AS), Taco Bell, sedang menilai semula penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengendalikan restoran pandu lalu di negara itu, selepas video lucu mengenai kesilapan teknologi itu ditonton berjuta-juta kali.

Dalam satu rakaman, seorang pelanggan dilihat ‘merosakkan’ dengan memesan 18,000 cawan air, manakala dalam klip lain seorang lelaki berang apabila AI berulang kali memintanya menambah lebih banyak minuman ke dalam pesanan.

Sejak 2023, rangkaian makanan segera itu memperkenalkan teknologi berkenaan di lebih 500 lokasi seluruh AS, dengan tujuan mengurangkan kesilapan dan mempercepatkan pesanan.

Namun, teknologi itu nampaknya memberikan kesan sebaliknya.

Ketua Pegawai Digital dan Teknologi Taco Bell, Dane Mathews, memberitahu The Wall Street Journal bahawa penggunaan AI suara mempunyai cabaran tersendiri.

“Kadang-kadang ia mengecewakan, tetapi juga mengejutkan saya,” katanya.

Beliau berkata, syarikat sedang banyak belajar daripada penggunaan teknologi tersebut, namun akan lebih berhati-hati dalam menentukan penggunaannya termasuk di kaunter pandu lalu.

Mathews menegaskan, terdapat keadaan tertentu di mana manusia lebih sesuai mengambil pesanan, terutama apabila restoran menjadi terlalu sibuk.

“Kami akan melatih pasukan tentang bila sesuai menggunakan AI suara dan bila lebih baik untuk memantau atau mengambil alih,” katanya.

Isu itu mendapat perhatian di media sosial apabila ramai pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem berkenaan.

Taco Bell bukan syarikat pertama berdepan masalah dengan teknologi AI di kaunter pandu lalu.

Tahun lalu, McDonald’s menarik balik penggunaan AI selepas sistem itu tersalah mentafsir pesanan pelanggan, termasuk menambah daging bacon ke dalam ais krim serta mengenakan caj ratusan dolar untuk pesanan nugget ayam yang tidak diminta.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN