KOTA BHARU: Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah akan masuk gelanggang mempertahan jawatan Naib Presiden Pas pada Muktamar Pas Kali Ke-71 di Kedah, bulan depan.
Kata beliau, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada parti itu, Isnin lalu.
“Melihat kepada pencalonan yang ada dan berdasarkan hasrat daripada kawan-kawan, saya bersetuju mempertahan jawatan tersebut (Naib Presiden),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd. Amar berkata, tiga lagi calon yang layak bertanding untuk jawatan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri.
“Jadi, saya serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan. Kalah menang atas keputusan perwakilan nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan mempertahan jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan kali ini.
Selain itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan penyandang jawatan tersebut, Datuk Idris Ahmad turut berada dalam senarai individu yang layak bertanding Naib Presiden Pas.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Pas Pusat 2025.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim merupakan calon tunggal bagi kedua-dua jawatan tersebut sekali gus menyaksikan tiada pertandingan.
Sementara itu, jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat kekal milik penyandangnya, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden apabila satu-satu pencabarnya, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mengumumkan menarik diri daripada bertanding.
Keputusan Mohamed Sukri itu sekali gus mengesahkan Afnan Hamimi mengekalkan jawatannya bagi sesi kepimpinan 2025-2027 pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang dijadual berlangsung di Kedah, 15 hingga 16 September ini.
Mohamed Sukri dilaporkan turut menolak pencalonan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pemuda Pusat meskipun menerima pencalonan daripada beberapa kawasan sebagai tanda memberi laluan kepada pelapis baharu.
“Saya berpegang bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Justeru, saya menolak pencalonan ini dengan penuh rendah hati agar saf kepimpinan baharu dapat tampil memberi sumbangan tenaga dan kebijaksanaan,” katanya. – UTUSAN










