BEIRUT: Lubnan sedang berdepan krisis air terburuk dalam beberapa dekad dan perlu bertindak segera untuk mengurangkan kesannya, kata Menteri Tenaga dan Air, Joe Saddi.
Dalam sidang akhbar di Beirut, Joe menyifatkan kekurangan air itu sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini, sambil menjelaskan jumlah hujan tahun ini merosot 51 peratus berbanding purata tahunan negara.
Lubnan biasanya menerima antara 700 hingga 1,000 milimeter hujan setiap tahun, kebanyakannya antara Disember hingga April, namun bilangan hari hujan merosot daripada 75 kepada hanya 45 tahun ini.
Joe berkata, hujan lebat juga menenggelamkan keupayaan tanah untuk menyerap air.
Beliau menegaskan, tidak seperti negara lain yang membuat persediaan lebih awal melalui peningkatan infrastruktur dan pelan kecemasan, Lubnan masih gagal melaksanakan langkah pencegahan.
Defisit air itu turut mengurangkan penjanaan kuasa hidro, sekali gus menjejaskan lagi bekalan elektrik negara.
Joe menggariskan enam langkah mendesak bagi menangani krisis air di Lubnan.
Beliau menggesa supaya pengagihan air dijadualkan semula secara adil dan telus, mengaktifkan kembali telaga sedia ada untuk kegunaan segera serta memastikan bekalan tenaga mencukupi bagi mengendalikan telaga tersebut selama setiap hari.
Beliau turut menggesa pelancaran kempen kesedaran awam untuk memupuk penjimatan air, pemetaan kawasan paling terdedah kemarau serta pembangunan pelan kecemasan proaktif bagi menghadapi musim kering.
Tasik buatan terbesar Lubnan, Tasik Qaraoun, merekodkan penurunan paras air bersejarah sebanyak 62.5 peratus sepanjang tahun lalu.
Mac lalu, Pihak Berkuasa Sungai Litani memberi amaran negara itu sedang mengalami kemarau terburuk dalam tempoh lebih 65 tahun.- ANADOLU










