MOSCOW: Russia telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Israel susulan dakwaan serangan terhadap sebuah kenderaan diplomatik milik negara itu berhampiran penempatan Givat Assaf, dekat Baitulmuqaddis, menurut kenyataan Kementerian Luar Russia.
Jurucakap kementerian, Maria Zakharova berkata, insiden pada 30 Julai itu melibatkan kenderaan milik misi Persekutuan Russia ke Pihak Berkuasa Palestin yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik dan membawa petugas diplomatik yang diakreditasi oleh Kementerian Luar Israel.
“Kenderaan itu telah diserang oleh sekumpulan penduduk penempatan haram Israel Givat Assaf, berdekatan Baitulmuqaddis,” katanya dalam kenyataan.
Zakharova mendakwa kejadian itu berlaku dengan pengetahuan anggota tentera Israel yang berada di lokasi dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan serangan berkenaan.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan kementerian Russia itu secara bebas. Bagaimanapun, kata Zakharova lagi, Kedutaan Russia di Tel Aviv sudah menyerahkan bantahan rasmi kepada pihak berkuasa Israel. -AGENSI










