Kanak-kanak Gaza tidak mampu duduk, menangis akibat kebuluran

Kanak-kanak Gaza tidak mampu duduk, menangis akibat kebuluran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Doktor Palestin di Gaza memberi amaran kanak-kanak yang berdepan kebuluran di wilayah itu berisiko meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari, jika tiada campur tangan segera bagi membekalkan makanan terapeutik dan ubat-ubatan.

Pegawai pemakanan MedGlobal di Gaza, Dr. Rana Soboh berkata, situasi di utara wilayah semakin kritikal dengan peningkatan kes kekurangan zat makanan akut teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

“Ada kanak-kanak yang terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan, ketawa, bermain, duduk, malah menangis,” katanya pada sesi taklimat maya yang dikendalikan aktivis Amerika, Cynthia Nixon.

Menurut Soboh, rawatan bagi kes kekurangan zat makanan akut memerlukan makanan khas terapeutik, susu khas, mikronutrien, antibiotik dan pemantauan rapi.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Pakar Perubatan Hak Asasi Manusia Israel, Lina Qassem-Hassan berkata, Dr. Hassan Abu Safiya dari Hospital Kamal Adwan yang ditahan sejak Disember lalu kehilangan 40 kilogram semasa dalam tahanan, dipukul teruk dan dibiarkan tanpa rawatan walaupun mempunyai masalah jantung.

Beliau turut mendedahkan kes penderaan sistematik terhadap petugas kesihatan Palestin, termasuk dipukul secara berulang, diseksa deria, kelaparan, dinafikan hak rawatan dan keganasan fizikal, mental serta seksual.

Qassem-Hassan menggesa komuniti perubatan antarabangsa, wartawan dan pejuang hak asasi untuk membongkar serta menyiasat jenayah yang dilakukan Israel, selain mendesak pembebasan semua petugas perubatan yang ditahan.

Sejak Oktober 2023, lebih 61,200 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan Israel yang turut menyebabkan krisis kebuluran.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel juga sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN