GAZA: Tentera Israel mengisytiharkan Gaza City sebagai ‘zon pertempuran berbahaya’ ketika ia bersiap untuk melancarkan serangan besar-besaran bagi menawan bandar tersebut.
Pengumuman pada Jumaat itu dibuat ketika tekanan antarabangsa meningkat agar operasi ketenteraan di Gaza dihentikan, dengan majoriti penduduk dipindahkan sekurang-kurangnya sekali dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytihar berlaku kebuluran.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee berkata, operasi awal dimulakan di pinggir Gaza City.
“Kami tidak menunggu. Kami memulakan operasi awal dan peringkat awal serangan,” katanya di X.
Ketua tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam kenyataan video mendakwa, serangan di Gaza City sedang diperhebatkan dan usaha diteruskan dalam beberapa minggu akan datang.
PBB menganggarkan hampir sejuta orang tinggal di wilayah itu, termasuk Gaza City dan kawasan sekitarnya.
Satu kenyataan tentera pada Jumaat menyebut Gaza City kini merupakan zon pertempuran berbahaya, dan jeda setiap hari dalam aktiviti ketenteraan yang membenarkan penghantaran makanan terhad tidak lagi terpakai di sana.
Tentera tidak meminta penduduk meninggalkan bandar serta-merta, tetapi Adraee sebelum ini berkata pemindahan Gaza City tidak dapat dielakkan.
Di selatan Gaza City semalam, rakaman AFP menunjukkan penduduk Palestin mengutip runtuhan bangunan selepas serangan Israel.
Mohammed Abu Qamar, 42, dari kem Jabalia di utara Gaza ketika menuju ke selatan menegaskan dirinya sangat marah dan kecewa.
“Kami tidak meninggalkan rumah kami. Kami penat. Kematian semakin menghampiri kami,” katanya kepada AFP melalui telefon.










