ISLAMABAD: India hari ini membuka semua pintu empangan utama di sungai wilayah Kashmir yang ditadbirnya susulan hujan lebat, sekali gus memberi amaran kepada Pakistan mengenai kemungkinan banjir di bahagian hilir.
Pakistan mengesahkan menerima amaran itu dan segera mengeluarkan amaran banjir bagi tiga sungai yang mengalir masuk dari India.
Kedua-dua negara seteru itu sebelum ini turut dilanda hujan monsun lebat dan banjir besar dalam beberapa minggu lalu.
Wilayah tengah Pakistan, Punjab, berdepan risiko banjir sangat tinggi akibat gabungan hujan lebat dan pelepasan air berlebihan daripada empangan India yang mengalir merentasi sempadan, menurut pegawai.
Punjab merupakan kawasan nadi utama Pakistan yang kaya sumber makanan dan menempatkan separuh daripada 240 juta penduduk negara itu.
Sumber India berkata, kira-kira 200,000 kaki padu air dijangka dilepaskan.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada pelepasan air dari India itu akan dilakukan sekali gus atau secara berperingkat.
Semalam, seorang pegawai pengurusan bencana Pakistan memberi amaran India akan melepaskan jumlah air terkawal dalam beberapa hari akan datang.
Pakistan memaklumkan, New Delhi menyampaikan dua amaran banjir lebih awal sejak 24 Ogos lalu.- AGENSI










