BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kini dilaporkan sedang mempertimbang untuk menguasai sepenuhnya Semenanjung Gaza, satu langkah yang dijangka mendapat tentangan hebat daripada masyarakat antarabangsa dan penduduk Israel.
Jika dilaksanakan, langkah itu bakal mencetus ketegangan lebih buruk dalam perang yang sudah berlarutan hampir 22 bulan dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Pakar memberi amaran tindakan itu bukan sahaja mengancam nyawa ribuan penduduk Palestin yang sedang kebuluran, tetapi juga kira-kira 20 tebusan yang masih hidup selain meningkatkan pengasingan Israel di peringkat global.
Cadangan penjajahan semula itu dijangka menerima tentangan keras daripada keluarga tebusan yang melihatnya sebagai ‘hukuman mati’ terhadap orang tersayang mereka.
Hamas masih menahan 50 tebusan, namun hanya kurang separuh dipercayai masih hidup, dan video terkini menunjukkan mereka dalam keadaan kurus kering dan merayu untuk diselamatkan.
Malah, sebahagian besar institusi keselamatan Israel juga dilaporkan tidak bersetuju dengan rancangan itu, kerana ia boleh memerangkap tentera dalam pendudukan jangka panjang yang memenatkan, di samping membebankan lagi sumber ketenteraannya selepas hampir dua tahun perang serantau.
Pemerhati berpendapat, ancaman penjajahan semula mungkin taktik untuk menekan Hamas selepas rundingan yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar gagal bulan lalu, atau sekadar memuaskan hati sekutu sayap kanan Netanyahu yang sekian lama menyokong pendekatan lebih agresif terhadap Gaza.
Sekutu pemerintahannya sering menggesa pengusiran sebahagian besar penduduk Gaza secara sukarela dan menghidupkan semula penempatan Yahudi yang dibubarkan sewaktu pengunduran tentera Israel pada 2005.
Namun, sama ada rancangan itu akan dilaksanakan bergantung kepada satu-satunya tokoh luar yang mempunyai pengaruh besar ke atas Israel iaitu Presiden AS, Donald Trump, yang sehingga kini belum menyatakan pendirian.
Untuk mengambil alih sepenuhnya Gaza, tentera Israel perlu melancarkan operasi darat di kawasan terakhir yang belum diratakan termasuk bandar Deir Al-balah dan kawasan Al-Mawasi, zon kemanusiaan menempatkan ratusan ribu pelarian dalam khemah sementara di sepanjang pantai.
Operasi sedemikian akan menyebabkan gelombang pelarian baharu, namun dengan sempadan Gaza yang hampir sepenuhnya ditutup dan 75 peratus wilayah diisytiharkan sebagai zon penampan atau diletakkan di bawah arahan pemindahan, tidak jelas ke mana lagi penduduk awam boleh melarikan diri.
Penjajahan semula Gaza juga akan menimbulkan cabaran besar jangka panjang, termasuk potensi tercetusnya pemberontakan berterusan.
Sokongan penduduk Israel sendiri terhadap perang juga semakin merosot, terutama selepas Netanyahu menamatkan gencatan senjata pada Mac lalu.
Ia akan meletakkan seluruh wilayah antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan yang menempatkan kira-kira tujuh juta Yahudi dan tujuh juta rakyat Palestin di bawah kawalan penuh Israel.- AP










