GAZA: Israel dilaporkan menyerang Hospital Nasser di Gaza sekurang-kurangnya empat kali dalam serangan dahsyat pada Isnin lalu, yang meragut kira-kira 20 nyawa termasuk lima wartawan, menurut analisis BBC Verify.
Perkhidmatan semakan fakta menganalisis rakaman video baharu serangan Israel, yang mencetuskan kecaman antarabangsa.
Pada awalnya, laporan antarabangsa itu menyebut hospital berkenaan dibedil dua kali dalam serangan ‘double-tap’, dengan kejadian kedua berlaku sembilan minit selepas yang pertama, mengorbankan petugas penyelamat dan wartawan tiba di tempat kejadian.
Namun, analisis BBC mendapati kemudahan itu sebenarnya menjadi sasaran sekurang-kurangnya empat kali.
Dalam serangan pertama, dua tangga di hospital terkena peluru berpandu hampir serentak.
Wartawan Hussam Al-Masri, yang mengendalikan siaran langsung untuk Reuters, dilaporkan maut dalam gelombang serangan awal itu.
Dalam serangan berasingan, tentera Israel turut membedil sebuah tangga di bahagian utara hospital juga hampir pada masa yang sama.
BBC mendedahkan serangan tambahan itu selepas menganalisis puluhan video yang dirakam oleh seorang juruvideo bebas serta klip saksi yang dimuat naik dalam talian.
Satu daripada video menunjukkan seorang mangsa cedera dibawa turun melalui tangga utara hospital yang rosak selepas gelombang serangan pertama.
Rakaman gelombang pertama itu menunjukkan kesan kemusnahan di dalam hospital yang dipercayai berpunca daripada peluru bersaiz kecil dan lubang kesan hentaman turut kelihatan seolah-olah ditembak pada sudut mendatar, menurut Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan Senjata, N R Jenzen-Jones.
Serangan kedua Israel berlaku sembilan minit kemudian selepas puluhan petugas perubatan dan wartawan berkumpul untuk memeriksa tangga di bahagian timur hospital yang rosak akibat serangan awal.
Pakar ketenteraan memberitahu BBC, Israel menggunakan peluru berpandu Lahat, yang boleh dilancarkan dari kereta kebal, helikopter dan dron.









