15 teknokrat Palestin akan tadbir Gaza jika gencatan senjata tercapai

15 teknokrat Palestin akan tadbir Gaza jika gencatan senjata tercapai

SEORANG lelaki Palestin duduk di sebelah runtuhan bangunan selepas serangan Israel di Pusat Kesihatan Sheikh Radwan yang dikendalikan UNRWA di utara Bandar Gaza, pada Khamis lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Semenanjung Gaza akan ditadbir oleh 15 teknokrat Palestin di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Palestin (PA) sekiranya gencatan senjata dicapai.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata, pentadbiran sementara itu akan berlangsung selama enam bulan, dengan penekanan terhadap perpaduan pentadbiran antara Gaza dan Tebing Barat.

Cadangan itu dikemukakan ketika delegasi Hamas tiba di Kaherah pada Selasa untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Mesir mengenai cadangan gencatan senjata selama 60 hari.

Rundingan itu diadakan ketika Israel meneruskan strategi penjajahan semua secara berperingkat yang diluluskan Kabinet Keselamatannya minggu lalu.

“Matlamat utama adalah untuk kembali kepada cadangan asal, iaitu gencatan senjata 60 hari, pembebasan sebahagian tawanan dan tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Gaza tanpa halangan atau syarat,” katanya pada sidang media di Kaherah, pada Selasa.

Media Israel melaporkan cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang melibatkan pembebasan 10 tawanan Israel yang masih hidup dalam dua fasa, serta penyerahan mayat 18 tebusan dalam tiga fasa, sebagai pertukaran untuk pembebasan sebahagian tahanan Palestin dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Isnin lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Gaza akan ditadbir oleh pentadbiran awam bukan Israel selepas pendudukan Bandar Gaza.

Netanyahu mendakwa, pentadbiran tersebut akan diurus pihak ketiga, bukan Hamas atau Pihak Berkuasa Palestin, tanpa memberikan butiran lanjut.

Israel kini berdepan kecaman global berhubung perang pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang meragut lebih 61,700 nyawa sejak Oktober 2023.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN