Haram jual vape di Perlis kekal 1 Ogos ini

Haram jual vape di Perlis kekal 1 Ogos ini

SEORANG pekerja kedai vape, Farhan Muhammad, 28, mula mengemas stok rokok elektronik menjelang pengharaman penjualan vape berkuat kuasa 1 Ogos ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Larangan penjualan vape atau rokok elektronik di negeri ini kekal berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Yang Dipertua Majlis Perban­daran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, tidak ada sebarang penangguhan memandangkan perkara tersebut sudah dimaklumkan sejak daripada awal lagi.

Katanya, bermula 18 sehingga 31 Julai, pihak MPK akan mengadakan fasa hebahan awal merangkumi pengedaran notis ke premis, pemantauan serta hebahan awam.

Ujarnya, bermula 1 sehingga 31 Ogos akan dilaksanakan pe­nguatkuasaan penuh manakala 1 Ogos adalah tarikh kuat kuasa rasmi larangan penjualan vape di premis perniagaan.

“Dalam tempoh sebulan itu juga, MPK akan laksanakan operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasa berkaitan seperti polis dan Jabatan Kesihatan.

“Ia akan melibatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke premis sasaran dan juga tindakan penguatkuasaan kompaun. Bermula 1 September hingga seterusnya, tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kesalahan berulang termasuk pembatalan lesen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, pengusaha jualan vape di Perlis merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan lanjutan tempoh penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik itu sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Seorang pekerja kedai vape, Asyraf Mizwar, 28, dilaporkan berkata, sejak pengumuman larangan itu pada Mei lalu, jualan vape menurun mendadak sehingga 60 peratus.

Pada 14 Mei lalu, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli memaklumkan bahawa penjualan vape akan diharamkan bermula 1 Ogos berdasarkan ke­putusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengenai ro­kok elektronik pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×