JPJ bertindak tegas

JPJ bertindak tegas

AEDY Fadly Ramli (kiri) beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan yang hadir ke perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan tiga langkah tegas bagi meningkatkan keselamatan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini, sekali gus mengelak tragedi berulang.

Langkah itu ialah mewajibkan pe­makaian tali pinggang keledar kepada semua penumpang bas ekspres dan persiaran bermula esok, menyenarai hitam syarikat-syarikat yang gagal melunaskan tunggakan saman dalam tempoh 14 hari.

JPJ juga akan membatalkan lesen syarikat pengendali kenderaan per­dagangan yang gagal audit melalui Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu merupakan usaha berterusan JPJ meningkatkan tahap keselamatan jalan raya seterusnya memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara.

Beliau berkata, bermula Selasa ini pihaknya akan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran, dan individu yang ingkar akan dikenakan saman RM300.

“Sebelum ini kita mengambil pendekatan advokasi, namun bermula 1 Julai ini kita akan melaksanakan secara tegas.

“Jika pemandu gagal memberi peringatan kepada pe­numpang untuk memakai tali pinggang keledar, mereka (pemadu) akan turut dikenakan tindakan, termasuk syarikat pengendali bas turut dikenakan saman,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Aedy Fadly memberitahu, penguatkuasaan itu hanya terpakai kepada bas yang dibina selepas Januari 2020, sementara bas yang dibina sebelum tahun berkenaan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar.

Mengenai tindakan menyenarai hitam syarikat-syarikat gagal membayar saman tertunggak dalam tempoh 14 hari, beliau berkata, kesemua kenderaan terlibat sama sekali tidak akan dibenarkan berada di jalan raya.

“Sekiranya kenderaan terlibat didapati berada di atas jalan raya, kita akan ambil tindakan dengan melakukan sitaan.

“Pasukan saya sudah bersiap sedia, hari ke-15 kita akan bekerja (melakukan penguatkuasaan) jika tidak selesaikan saman,” katanya.

JPJ juga katanya, akan mengemukakan syor kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang gagal audit melalui Op Khas JPJ Inspection and Safety Audit (JISA).

Beliau berkata, pengauditan yang dijalankan selama empat hari bermula 23 Jun lalu mendapati 85 daripada 133 syarikat atau 64 peratus, gagal audit berkenaan.

Menurutnya, kesalahan dilakukan melibatkan perka­ra-perkara mandatori JISA seperti tidak melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta gagal memasang Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada semua kenderaan.

Selain itu, syarikat tidak membuat pemantauan GPS, tidak patuh syarat rekod pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari dan syarat rehat pemandu 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.

“Kesalahan lain, syarikat tidak menyediakan plan tindakan keselamatan, tidak menyediakan nombor hotline dan nama pegawai syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan,” katanya.

Aedy Fadli memberitahu, Op Khas JISA melibatkan lori, bas ekspres dan persiaran.

“Hasil pemeriksaan ke atas 70 buah lori, kita dapati hanya 27 yang lulus. Bas ekspres dan persiaran pula 28 sahaja yang lulus daripada jumlah kese­luruhan 63 buah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN