DAMSYIK: Sekolah dan universiti di Syria kembali dibuka semalam, seminggu selepas kumpulan pejuang menguasai ibu negara dan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan Syria berada dalam fasa untuk menormalkan kehidupan, selepas bebas daripada cengkaman pemerintahan diktator berkenaan.
Pegawai melaporkan, kebanyakan sekolah di seluruh negara sudah mula dibuka kelmarin, iaitu hari pertama minggu bekerja di kebanyakan negara Arab.
Namun, terdapat ibu bapa yang masih ragu-ragu untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana ketidaktentuan situasi semasa.
Dekan Fakulti Seni Universiti Damsyik, Ali Allaham berkata, 80 peratus kakitangan dan sebilangan besar pelajar sudah kembali ke kampus.
Seorang kakitangan di sebuah sekolah pula berkata, kira-kira 30 peratus pelajar turut kembali ke sekolah dan menjangkakan jumlah meningkat dalam beberapa hari akan datang.
Selain itu, perkhidmatan gereja, restoran dan bar juga dibuka semula buat kali pertama pada Ahad, selepas Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan kumpulan pejuang lain menguasai Damsyik.
Prestasi mata wang pound Syria menunjukkan tanda positif, mengukuh sebanyak 20 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, pencapaian terbaik sejak kemerosotan ekonomi pada 2021.
Pihak berkuasa juga mengharapkan lapangan terbang di Damsyik akan dibuka semula pada hujung minggu ini.
Pemimpin de facto baharu negara itu, Ahmad al-Sharaa menghadapi cabaran besar untuk membangunkan semula Syria selepas 13 tahun peperangan yang meragut ratusan ribu nyawa.
Hampir keseluruhan bandar musnah akibat pengeboman, ekonomi lumpuh disebabkan sekatan antarabangsa dan berjuta-juta pelarian masih berlindung di kem di luar Syria.– AGENSI










