NEW YORK: Badan pemantau yang berpangkalan di New York, Human Rights Watch (HRW) menuduh Israel melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ dengan menafikan akses air bersih kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dalam laporan baharu setebal 184 muka surat yang dikeluarkan kelmarin, HRW menyifatkan Israel sengaja menghalang akses bekalan air mencukupi untuk rakyat Palestin ketika rejim melancarkan serangan di wilayah itu.
“Kami dapati kerajaan Israel sengaja membunuh rakyat Palestin di Gaza dengan menafikan akses air yang diperlukan mereka untuk terus hidup,” kata Pengarah HRW Asia Barat, Lama Fakih.
Pemangku Pengarah Israel dan Palestin HRW, Bill Van Esveld berkata, organisasi itu menemu bual lebih 115 orang dan menggunakan imej satelit sebagai sebahagian daripada siasatannya.
“Kami melakukan kerja yang sangat teliti dan menemukan empat perkara utama yang dilakukan Israel untuk sengaja menyekat akses air di Gaza,” katanya.
Beliau berkata, rejim menyekat saluran paip yang membawa air minum dari Israel ke Gaza dan memutuskan bekalan elektrik diperlukan untuk mengaktifkan pam air bagi simpanan di dalam wilayah, menyebabkan kilang penapisan, telaga serta loji pengurusan sisa berhenti beroperasi.
Beberapa fasiliti tersebut mempunyai panel solar untuk membekalkan tenaga sekiranya bekalan elektrik diputuskan.
“Tentera Israel memusnahkan empat daripada enam loji rawatan air sisa di Gaza, menghalang usaha pembaikan dan membunuh kakitangan teknikal serta menyekat bantuan kemanusiaan.
“Ini adalah dasar yang menghalang orang ramai daripada mendapatkan air dan ia jelas merupakan tindakan pemusnahan,” kata Van Esveld.
HRW mendapati rakyat Palestin di Gaza hanya mempunyai akses kepada dua hingga sembilan liter air sehari di banyak kawasan, jauh di bawah tahap 15 liter diperlukan untuk kelangsungan hidup, yang menyumbang kepada penularan penyakit serta kematian.
Laporan itu menyimpulkan dasar tersebut merangkumi tindakan pembunuhan beramai-ramai, di bawah kriteria yang digariskan dalam Konvensyen Genosid 1948.
Sementara itu, Israel menolak laporan HRW dan menyifatkan sebagai ‘propaganda’.
Jurucakap Kementerian Luar Israel dalam hantaran di X, menuduh HRW menyebarkan fitnah dan menganggap laporan berkenaan bercanggah serta pembohongan.– AL JAZEERA










