BAITULMUQADDIS: Israel mengumumkan penutupan kedutaan di Ireland ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin merosot berikutan perang di Gaza.
Keputusan untuk menutup kedutaan itu dibuat selepas Menteri Luarnya, Gideon Sa’ar menuduh Ireland mengamalkan ‘dasar anti-Israel yang melampau’.
“Ireland menunjukkan tindakan dan retorik antisemitik yang bertujuan untuk mendeligitimasi dan mendemonisasi negara Yahudi, selain mengamalkan sikap berat sebelah.
“Negara itu kini melampaui semua garis merah dalam hubungannya dengan Israel,” kata Sa’ar menerusi satu kenyataan Kementerian Luar, kelmarin.
Bagaimanapun, langkah itu dikritik ketua pembangkang Israel, Yair Lapid yang menyifatkan penutupan kedutaan sebagai kemenangan kepada organisasi anti-Semitisme.
“Cara untuk menangani kritikan bukanlah dengan melarikan diri, tetapi untuk bertahan dan berjuang,” kata Lapid.
Sementara itu, Perdana Menteri Ireland, Simon Harris kesal dengan keputusan Israel untuk menutup kedutaannya di negara itu.
“Saya sepenuhnya menolak tuduhan bahawa Ireland bersikap anti-Israel. Ireland adalah pro keamanan, pro hak asasi manusia dan pro undang-undang antarabangsa,” tulisnya di platform X.
Mei lalu, Israel memanggil pulang dutanya dari Dublin selepas Ireland, bersama Norway, Sepanyol dan Slovenia mengumumkan akan mengiktiraf negara Palestin.
Kabinet Ireland minggu lalu memutuskan untuk campur tangan secara rasmi dalam kes Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), untuk menuduh Tel Aviv melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.– AFP










