Polis Pahang patah cubaan edar 111kg ganja - Utusan Malaysia

Polis Pahang patah cubaan edar 111kg ganja

YAHAYA Othman (dua dari kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis ganja dianggarkan seberat 111 kilogram (kg) bernilai RM359,600 dengan penahanan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebelum itu, lelaki berusia 48 tahun tersebut melarikan diri ketika ditahan di tepi jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) di kilometer 267 hala ke Kuala Lumpur sekitar pukul 9 pagi.

“Semasa polis ingin membuat pemeriksaan, suspek memecut kenderaan dipandu dan berlaku kejar mengejar menghala ke Plaza Tol Jabor.

“Suspek kemudian berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta dipandu suspek, polis menemukan 107 paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 111,663.51 gram.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja untuk pasaran tempatan.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh 111,663 orang penagih dadah,” katanya memberitahu rampasan itu merupakan yang terbesar dilakukan Polis Pahang bagi tahun ini.

Difahamkan suspek yang tidak bekerja dan berasal dari Kelantan itu mendapatkan bekalan dadah terbabit dari negara jiran untuk diedarkan di pasaran tempatan.

Menurutnya, suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

“Siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 terhadap harta milik suspek dan sekutu masih diteruskan,” ujarnya.

Yahaya turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan atau aktiviti dadah menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 095051999/2202 dan juga bilik operasi 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang di talian 095052287 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN