LONDON/WASHINGTON: Polis antikeganasan Britain pada Ahad menyiasat insiden besar berhampiran sebuah pangkalan yang digunakan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), selepas menahan lima lelaki yang disyaki membuat persiapan untuk melakukan tindakan keganasan, kata polis.
Pegawai bersenjata menahan kumpulan itu pada awal pagi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai tiga kenderaan mencurigakan yang dilihat menuju ke arah pangkalan udara, menurut kenyataan Polis Metropolitan London.
Insiden itu berlaku dekat pangkalan udara Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Fairford di Gloucestershire.
Presiden AS, Donald Trump memberitahu pemberita bahawa mereka mahu melakukan kerosakan besar di pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford di Gloucestershire, barat daya England.
“Kami telah memantau mereka untuk tempoh yang lama dan kami berjaya menahan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa AS dan UK bekerjasama dalam insiden itu.
Seorang penduduk tempatan yang berkata, orang ramai di kawasan itu mengetahui bahawa pangkalan berkenaan ditutup berikutan ancaman keganasan, menghubungi perkhidmatan kecemasan selepas melihat tiga van menghalang jalan dan sekumpulan besar lelaki memakai hud dan topeng balaclava.
Beliau memberitahu agensi berita PA bahawa beliau berasa amat terkejut kerana amaran itu pada dasarnya dicetuskan oleh seorang orang awam yang peka selepas melihat aktiviti luar biasa.
Kira-kira 85 keluarga di kampung Whelford yang berhampiran dinasihatkan berpindah, manakala pakar pemusnah bom tentera dipanggil untuk memeriksa tiga van putih besar yang dihentikan polis di jalan luar bandar. – AFP











