PETALING JAYA: Ujian HIV terhadap pelajar baharu institut pengajian tinggi (IPT) bukan bertujuan mendiskriminasi mereka tetapi sebagai langkah pencegahan awal sehingga boleh menjejaskan pendidikan negara.
Exco Pembangunan Dan Kepimpinan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (Pimpin), Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, semua pelajar berhak mendapatkan pendidikan walaupun mempunyai pelbagai penyakit termasuk HIV.
Katanya, perkara ini dilihat sebagai satu isu yang sangat peribadi tetapi ia perlu diatasi segera kerana akan memberi kesan kepada sistem pendidikan negara.
“Apabila ujian ini telah diselaraskan maka pihak universiti perlu menjadikan ia data peribadi dan sulit bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku melibatkan pesakit itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaysia (KMUM) kelmarin dilapor mencadangkan agar setiap universiti mewajibkan ujian HIV terhadap pelajar baharu susulan peningkatan kes membabitkan golongan itu yang berusia 18 hingga 25 tahun.
Ini kerana Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir berkata, data Kementerian Kesihatan menunjukkan seramai 214 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dijangkiti HIV pada 2020, diikuti sedikit penurunan sebanyak 186 kes pada 2021.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Iman Azhar berkata, kerajaan perlu mengesan jumlah para pelajar yang mempunyai jangkitan HIV dengan lebih awal sebelum memasuki IPT.
Menurutnya, ia akan membantu kerajaan membentuk mitigasi lebih baik secara berterusan dalam hal berkaitan penularan jangkitan HIV.
“Kerajaan juga perlu memberi jaminan perlindungan keputusan ujian dan data bagi disulitkan dan terjamin kerahsiaannya.
“Hal ini penting kerana menilai kepada stigma dan nilai diskriminasi masyarakat yang masih tinggi terhadap penghidap HIV memerlukan untuk ada jaminan terhadap perlindungan keputusan saringan,” katanya.










