ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang mengorbankan dua wira negara dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insiden itu amat menyedihkan yang turut menyebabkan seorang lagi anggota polis cedera dalam kejadian tersebut.
“Jumaat lalu kita digemparkan dengan satu insiden mendukacitakan, iaitu serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi cedera dalam serangan itu.
“Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya keganasan ekstremisme apatah lagi apabila ia mengorbankan nyawa yang tidak berdosa membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Dalam serangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.
Ahmad Azza Fahmi maut akibat ditetak pada bahagian belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq terbunuh akibat ditembak pada bahagian perut dan lengan.
Seorang lagi anggota, Koperal Mohd. Hasif Roslan yang cedera kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan keadaannya dilaporkan stabil.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Undangan (ADUN) Machap turut mengajak wakil rakyat beragama Islam membacakan Al-Fatihah, manakala wakil rakyat bukan Islam bertafakur sebagai memberi penghormatan kepada dua anggota polis itu.
Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada agensi keselamatan itu untuk memerangi keganasan di negeri ini.
“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya insiden sebegini tak berulang lagi di Johor. Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakam ucapan takziah kepada keluarga wira kita yang terkorban, tragedi ini amat dikesali, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – UTUSAN










