Waze, TuJu, Israel dan rakyat yang terkejut - Utusan Malaysia

Waze, TuJu, Israel dan rakyat yang terkejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJORITI rakyat Malaysia terkejut besar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharamkan penggunaan Waze sebagai aplikasi penunjuk jalan dalam kalangan penjawat awam kerana ia terkait dengan Israel.

Hingga ramai yang tersalah anggap bahawa larangan itu membabitkan seluruh rakyat Malaysia. Untuk keseluruhan rakyat Malaysia belum lagi. Setakat ini hanya untuk kakita­ngan kerajaan seperti yang diumumkan.

Satu lagi yang buat orang ramai terkejut adalah kita ada apli­kasi sendiri untuk tujuan itu. Namanya TuJu. Walaupun buat masa ini ada yang berjenaka, TuJu gagal sampai ke tempat yang hendak dituju, tetapi sekurang-kurangnya kita ada ke­upayaan.

Tetapi seperti biasa, di negara kita benda baik seperti itu dibuat senyap-senyap. Tidak diuar-uarkan secara meluas. Walaupun ada majlis pelancaran, tapi majoriti rakyat tidak tahu. Mungkin untuk elak kontroversi dan soalan-soalan panas seperti berapa kos, siapa yang bangunkan, apa teknologi yang digunakan dan sejauh mana kebolehbergantungannya.

Sepatutnya kerajaan keluarkan sedikit belanja untuk promosikan TuJu. Tiada guna keluar jutaan ringgit bayar konsultan jika majoriti rakyat tidak tahu.

Rakyat pula kena ingat, pengharaman Waze itu bukan pengakhiran kepada kaedah kita bernavigasi.

Negara maju lain di Asia, mereka langsung tidak bergantung kepada aplikasi yang datanya disimpan di Israel itu atau ciptaan barat.

Cuba tengok penduduk Korea Selatan yang lebih 51 juta. Mereka tidak guna Waze, Kebanyakan rakyat negara itu menggunakan Naver Map dan KakaoMap untuk panduan perjalanan harian, pemanduan, dan pengangkutan awam.

Kedua-duanya adalah produk tempatan negara itu yang dibangunkan kerana peraturan keselamatan Korea Selatan yang menyekat eksport data pemetaan tempatan yang terperinci, aplikasi global seperti Google Maps.

Sama juga dengan lebih satu bilion rakyat China. Langsung tidak ada Waze atau Google Map di negara mereka. Penduduk di China menggunakan tiga aplikasi navigasi dan pemetaan tempatan, yang dikuasakan oleh sistem satelit navigasi BeiDou.

Aplikasi berkenaan adalah Amap atau Gaode Map yang dimiliki oleh Alibaba, Baidu Maps dan Tencent Maps.

Jadi bukan sesuatu yang pelik atau baharu apabila ada negara mengharamkan Waze atas faktor keselamatan. Banyak negara bertindak demikian. Sebagai pengganti, mereka membangunkan aplikasi tempatan yang setanding atau jauh lebih baik daripada aplikasi import itu.

Cuma kita di Malaysia suka buat sesuatu benda itu secara senyap-senyap. Sepatutnya, sebelum Perdana Menteri me­ngumumkan pengharaman Waze dalam kalangan penjawat awam, aplikasi ciptaan kita sudah tersedia.

Negara kita bukannya lekeh. Kita ada ramai pakar dan sai­ntis yang menang pelbagai anugerah di seluruh dunia. Menang anugerah di Eropah seperti di Switzerland dan Jerman adalah perkara biasa bagi para saintis daripada universiti kita.

Selain itu kita ada lembaga, jabatan dan agensi yang hari-hari kerja mereka mengukur, memeta dan menyelia jalan. Sudah tentu data mengenai setiap inci jalan raya negara kita ada dalam ‘saku’ mereka.

Melalui kombinasi data dan kepakaran yang ada kenapa kita tidak boleh hasilkan aplikasi tempatan seperti negara lain yang mahu memastikan data terperinci mengenai lokasi dan tempat di negara mereka tidak jatuh kepada pihak luar? – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.