JERANTUT: Felcra Berhad (Felcra) akan memastikan sembilan kilang sawit milik agensi berkenaan melaksanakan projek hiliran kilang biogas dalam usaha meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui negara.
Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya yakin usaha itu akan memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada semua pihak terutama masyarakat luar bandar yang sentiasa mendambakan keperluan asas seperti elektrik yang mencukupi dan setanding dengan mereka di bandar.
“Bekalan elektrik yang stabil membolehkan perusahaan dan perniagaan di luar bandar beroperasi lebih cekap. Ia membuka peluang pertumbuhan ekonomi tempatan, mendorong peningkatan pekerjaan dan peluang perniagaan, serta menyokong pembangunan industri dan pertanian.
“Felcra sedia menyahut cabaran supaya semua kilang kita akan melaksanakan projek biogas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Cenerfi-Fjp di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Cenerfi-Fjp di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini merupakan projek biogas terbesar negara.
Katanya, projek ini untuk menghasilkan elektrik bersaiz 5.5 megawat yang boleh memberi sumbangan bermakna dalam meningkatkan kualiti hidup kira-kira 300,000 penduduk luar bandar khasnya di Pahang.
Menurutnya, penggunaan biogas daripada sisa kelapa sawit dapat mengurangkan pembakaran sisa organik dan menghasilkan tenaga elektrik yang bersih dan mampan.
“Hal ini dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memanfaatkan sumber tenaga yang tersedia secara lokal di kawasan berdekatan kelapa sawit ditanam dan diproses.
“Perasmian loji jana biogas ini memberikan semangat baharu untuk Felcra mengembangkan penggunaan sumber sedia ada yang lebih optimum melalui kerjasama yang lebih strategik dengan rakan niaga kami yang lain pula,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Felcra Berhad sudah mula merencanakan usaha untuk mengembangkan seluas 230 juta hektar ladang untuk tanaman sawit, getah dan produk makanan serta sembilan kilang lagi di seluruh negara dengan melaksanakan pelbagai aktiviti projek hiliran yang boleh memanfaatkan penduduk sekitar.
Ujarnya, sebelum ini Felcra Berhad sudah menerokai serta mula memperoleh hasil dalam bidang industri keterjaminan makanan apabila beberapa projek seperti ternakan ayam pedaging tertutup di Tanjung Seratus, Rompin Pahang, tanaman fertigasi serta ternakan lembu secara fidlot dan projek perladangan di seluruh negara sudah mula menunjukkan hasil yang positif. – UTUSAN










