KUALA TERENGGANU: Dua lokasi di Terengganu merekodkan suhu panas kategori dua tahap gelombang haba iaitu Felda Tenang di daerah Besut dan Felda Belara di sini.
Dua lokasi tersebut mencatat suhu lebih 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut iaitu suhu terendah 37.3 darjah Celcius manakala suhu tertinggi ialah 38.3 darjah Celcius.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, suhu yang direkodkan pada tahun ini secara amnya adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, suhu tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini antaranya Stesen Meteorologi Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak, Besut ialah 37.1 darjah Celcius pada 7 Mei 2019.
“Suhu tertinggi yang direkodkan di stesen sama pada tahun ini pula ialah 36.5 darjah Celcius.
“Lokasi lain yang turut mencatatkan suhu panas lebih 36 darjah Celcius pula ialah di Felda Chalok, Setiu dan sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, daerah Dungun.
“Selain itu, kawasan sekitar Jerangau, Dungun; Pengkalan Gawi di Hulu Terengganu dan sekitar Besut turut merekodkan suhu lebih 36 darjah Celcius dalam tempoh tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan enam negeri dijangka terus dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi kesan daripada fenomena El Nino yang sedang melanda dunia.
Enam negeri tersebut ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.
Situasi itu menyebabkan seramai lima individu di Terengganu terdiri daripada dua anggota tentera, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas telah dimasukkan ke hospital akibat strok haba dan kelesuan.
Rosli berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat serta ramalan suhu harian di Terengganu.
“Ini penting agar perancangan rapi dapat dibuat sebelum melaksanakan apa-apa program bagi meminimakan impak negatif daripada fenomena El Nino.
“Elakkan berada di luar bangunan jika tiada keperluan dan orang ramai perlu mengikuti saranan penjagaan kesihatan yang sewajarnya,” katanya.










