14 tahun bersih bom tidak meletup di Gaza

14 tahun tempoh bersih bom tidak meletup di Gaza

WANITA dan kanak-kanak tidak dapat menahan kesedihan selepas pengeboman Israel di Nuseirat di tengah Gaza, kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Membersihkan Gaza yang terkepung daripada bom yang tidak meletup boleh mengambil masa sehingga 14 tahun, menurut pakar pemusnah bom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai Kanan Perkhidmatan Tindakan Pemusnah Bom PBB (UNMAS), Pehr Lodhammar berkata, perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu meninggalkan kira-kira 37 juta tan serpihan bom.

“Apa yang boleh saya katakan adalah sekurang-kurang­nya 10 peratus daripada peluru yang ditembak berpotensi gagal berfungsi dan mengambil masa selama 14 tahun untuk mengeluarkan serpihan ber­kenaan,” jelas Lodhammar.

SUKAR TENTUKAN JUMLAH SEBENAR

Lodhammar berkata adalah mustahil untuk menentukan jumlah sebenar senjata yang tidak meletup di kawasan yang dikepung itu, menurut Agensi.

Katanya, selepas hampir tujuh bulan pengeboman hebat Israel, kawasan kejiranan yang dahulunya dibina dengan padat kini menjadi runtuhan.

Setiap meter persegi di Gaza yang terjejas akibat konflik itu mengandungi kira-kira 200 kilogram runtuhan, katanya.

Pada Februari lalu, laporan PBB menilai bahawa jika serangan semasa Israel ke atas Gaza ditamatkan serta-merta, ia akan mengambil masa beberapa dekad untuk dibangunkan semula dan memerlukan bantuan asing yang besar untuk membina semula kea­daan sosioekonomi di kawasan terkepung itu ke tahap sebelum konflik.

Sementara itu, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pela­rian Palestin (UNRWA) berkata, pihaknya mencari AS$1.21 bilion (RM5.771 bilion) untuk menangani krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza.

BUKAN NORMA BAHARU

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, perang ini tidak seharusnya menjadi norma baharu apabila kita mencapai satu lagi peristiwa yang menyedihkan, 200 hari penuh kekejaman, kehilangan, putus asa dan kebimbangan.

“Segala usaha mesti dilakukan untuk mencapai gencatan senjata yang sudah lama tertangguh. Sehingga itu, lebih banyak sokongan mesti datang kepada UNRWA untuk membolehkan kami bertindak balas terhadap keperluan kemanusiaan yang luas dan semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan minggu lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 34,488 rakyat Palestin terbunuh dan 77,643 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.

Lebih-lebih lagi, sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh semenanjung berkenaan.

Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.

Perang Israel mengakibatkan kebuluran teruk, kebanyakannya di utara Gaza, me­ngakibatkan kematian ramai rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak.

Pencerobohan Israel juga mengakibatkan perpindahan hampir dua juta orang dari seluruh Gaza dengan sebahagian besar pelarian terpaksa masuk ke bandar selatan Rafah yang padat berhampiran sempadan dengan Mesir yang menjadi terbesar di Palestin, penghijrahan beramai-ramai sejak Nakba 1948.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN