Angkasa pelopori industri vanila negara - Utusan Malaysia

Angkasa pelopori industri vanila negara

ABDUL FATTAH Abdullah (tengah) menyantuni pelajar tahfiz sempena program tanggungjawab sosial korporat di Vanila Amani Temerloh di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan menjadikan tanaman vanila atau nama saintifiknya planifolia andrews sebagai ikon produk baharu untuk diceburi koperasi di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, tanaman vanila atau sinonim emas hijau dilihat begitu berpotensi dalam menjana pulangan pendapatan tinggi kepada gerakan koperasi.

Menurutnya, Angkasa Pahang Tengah sudah diberi tanggungjawab bekerjasama dengan Amani Vanila Temerloh sebagai perintis dan model kepada projek berkenaan.

“Vanila asli mendapat permintaan tinggi di pasaran dengan nilai RM1,200 sekilo malah boleh mencecah RM2,000 sekilo, sangat diperlukan dalam pelbagai produk seperti ais krim, kosmetik dan hiliran,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada pelajar tahfiz di Amani Vanila Temerloh di sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, kejayaan Amani Vanila Temerloh yang diusahakan M. Feisal Mohamad Norawi memberi aspirasi kepada Angkasa untuk mencadangkan gerakan koperasi turut menceburi tanaman tersebut.

Beliau berkata, Angkasa Pusat dan Angkasa Pahang Tengah akan mempromosikan tanaman vanila selain membantu mana-mana koperasi mendapat modal daripada tabung modal pusingan dan institusi kewangan seperti Agrobank.

“Ini kerana Angkasa melihat potensi tanaman vanila yang boleh memberi pulangan tinggi kepada koperasi sekali gus memperkembangkan lagi perniagaan koperasi yang berimpak tinggi.

“Permintaan terhadap produk vanila sangat tinggi dan tiada masalah pasaran kerana pengeluaran negara termasuk dari Indonesia tidak dapat menampung keperluan industri terhadap vanila,” katanya.

Beliau berkata, Angkasa akan memohon tanah dari kerajaan negeri di kawasan strategik sebagai tapak projek tanaman vanila dalam jangka masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN